Anda di sini

10 korban serangan ke atas bar, hotel di tengah Mexico

Advertisement

CELAYA: Kumpulan bersenjata membunuh 10 orang dalam serangan ke atas sebuah hotel dan dua bar di bandar Celaya di Mexico, dengan bukti menunjukkan pembunuhan beramai-ramai itu telah dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang dikenali, kata pihak berkuasa kelmarin.

Serangan pada lewat Isnin itu telah meragut nyawa tujuh wanita dan tiga lelaki dan mengakibatkan dua orang cedera, menurut sekretariat keselamatan di Celaya, di negeri Guanajuato.

Pihak berkuasa menemui mayat semasa tiba di kawasan kejiranan Valle Hermoso selepas satu laporan tembakan, menurut kenyataan unit itu.

Saksi berkata beberapa mangsa telah ditembak, dan selepas itu penyerang menuang petrol untuk membakar kawasan.

Mayat-mayat bergelimpangan di antara meja dan kerusi plastik, dan satu mayat terbaring di kaki lima.

 Gambar menunjukkan Hotel Gala di Celaya, negeri Guanajuato di mana 10 orang dibunuh kelmarin. - Gambar AFP
Gambar menunjukkan Hotel Gala di Celaya, negeri Guanajuato di mana 10 orang dibunuh kelmarin. - Gambar AFP

Guanajuato, kawasan perindustrian pesat yang menempatkan kilang penapisan dan saluran paip utama, telah menjadi salah sebuah negeri paling ganas di Mexico akibat pertelingkahan antara kartel Santa Rosa de Lima dan Jalisco New Generation.

Geng-geng bergaduh untuk mengawal laluan pemerdagangan dadah dan bahan api yang dicuri.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan kumpulan jenayah yang disyaki dalam serangan terbaru itu.

Pada Mac, tujuh  mayat rentung telah ditemui ditinggalkan di dalam trak pikap di Celaya.

Dan pada Januari, enam sekeluarga telah dibunuh di sebuah perkampungan terpencil di negeri Guanajuato - serangan kelima di bandar Silao dalam empat bulan.

Sejak Disember 2006, selepas kerajaan melancarkan operasi antidadah tentera, menurut angka rasmi Mexico telah mencatatkan lebih daripada 340,000 pembunuhan.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan pembunuhan ialah jenayah terancang.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador telah memperjuangkan strategi "pelukan, bukan peluru" bagi menangani jenayah ganas dari akar umbinya dengan memerangi kemiskinan dan ketidaksamarataan menerusi program sosial, dan bukannya dengan tentera. - AFP

Advertisement