Anda di sini

Program BMTKM bantu Sarawak basmi miskin tegar

Advertisement

30 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia di negeri ini

Mustapa diapit Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) Datu Dr Mohammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain pada sidang media.
Mustapa diapit Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) Datu Dr Mohammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain pada sidang media.

“Program fasa satu yang juga merupakan projek perintis ini akan diadakan hujung bulan ini.” 

Datuk Seri Mustapa Mohamed 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Sebanyak 30 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah  fasa satu program itu, sebanyak 10 lokaliti telah dikenal pasti.

“Program fasa satu yang juga merupakan projek perintis ini akan diadakan hujung bulan ini.

“Ia akan dijalankan di Gedong:  Kampung Seberang Sebuyau, Sebuyau; Kampung Bakong, Lingga;  Long Kajang, Belaga; Kampung Spaoh, Betong;  Baram/Ulu Tinjar,  Pakan;  Lawas;  Daro  dan Telang Usan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Mustapa, program itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Bagi mencapai usaha ini, kita telah berbincang dengan Premier Sarawak mengenai program BMTKM yang akan kita laksanakan bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya golongan miskin memperoleh pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Ujarnya, program itu bukan sahaja meliputi kawasan luar bandar tetapi juga kawasan bandar dan akan dijalankan di 160 lokaliti di negara ini.

“Bagaimanapun, tumpuan akan terus diberikan kepada Sarawak kerana ia merupakan negeri yang merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi dalam negara pada tahun 2019 iaitu 9.0 peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, terdapat 180,009 keluarga miskin di seluruh negara setakat 15 Mei tahun ini.

Ditanya mengenai isu inflasi, Mustapa memberitahu bahawa kerajaan pusat akan terus memberi perhatian terhadap isu inflasi yang dihadapi pengguna di negara ini.

"Kita sedar bahawa pengguna merasakan inflasi lebih tinggi di kawasan bandar dan luar bandar, terutama pada harga makanan," katanya.

Beliau menambah, isu inflasi sedang dialami di seluruh dunia dan ini disebabkan pemulihan ekonomi daripada COVID-19 dan perang Ukraine-Rusia.

Advertisement