Anda di sini

PJKM di 222 kawasan Parlimen rekod jualan cecah RM54 juta

Advertisement
PUTRAJAYA: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara termasuk kawasan pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata tujuh lokasi setiap kawasan Parlimen.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata seramai 2.796 juta pengunjung mengunjungi program itu dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta sejak ia dilancarkan pada 2 Dis lepas.

Nanta berkata sepanjang program itu, pelbagai barangan keperluan harian dijual pada harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat dan yang menjadi tumpuan ialah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung serta sayur-sayuran.

"Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah sehingga 31 Mac sahaja, bagaimanapun atas permintaan ramai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai jualan pada PJKM baru-baru ini. Turut kelihatan, Nanta. - Gambar fail BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai jualan pada PJKM baru-baru ini. Turut kelihatan, Nanta. - Gambar fail BERNAMA

Nanta berkata PJKM merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Ia dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pertubuhan Peladang. 

Ia turut disokong 240 rakan strategik daripada pemain industri peruncitan terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya, pembekal dan pemborong. - BERNAMA

Advertisement