Anda di sini

Penjawat awam diberkas kerana gigit lengan isteri 

Advertisement

KUCHING: Seorang penjawat awam diberkas polis pada Selasa kerana dikatakan melakukan khianat serta menggigit lengan isterinya sehingga cedera sekitar hujung tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berumur 23 tahun diberkas susulan laporan polis dibuat isterinya.

Menurutnya, suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan isterinya yang ingin membawa anak mereka menemaninya bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran.

"Berlaku pergelutan di antara mereka sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa dalam kejadian tersebut.

"Suspek juga dilaporkan telah memecahkan telefon bimbit isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membeli susu anak mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga dan Sekyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pegawai Pendakwaraya Negeri Sarawak untuk mendapatkan arahan bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Advertisement