Anda di sini

Bilangan pelancong ke Sarawak meningkat awal tahun ini

Advertisement

KUCHING: Jumlah pelancong ke Sarawak dari Januari hingga April 2022 menunjukkan peningkatan 574.35 peratus dengan jumlah keseluruhan 310,064 orang berbanding tempoh sama pada 2021.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peningkatan itu memberi keyakinan sasaran 1.2 juta kedatangan pelancong ke negeri ini tahun ini dapat dicapai.

"Pada 2022, Sarawak optimis akan menerima 1.2 juta kedatangan pelancong dan menjana RM3.2 bilion dalam bentuk hasil perbelanjaan pelancong.

"Walaupun sektor pelancongan antarabangsa bangkit semula perlahan-lahan, pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri itu di peringkat negeri," katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak jatuh 74 peratus dari 4.66 juta pada 2019 kepada 1.2 juta pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

"Hasil perbelanjaan pelancongan juga menurun 75 peratus berbanding 2019 iaitu hanya RM2.88 bilion pada 2020. Pada 2021, jumlah kedatangan pelancong merundum 80 peratus kepada 235,245 berbanding tempoh sama pada 2020," katanya.

Beliau menambah, jumlah perbelanjaan pelancongan menurun 81 peratus berbanding 2020 kepada RM536.17 juta pada 2021. 

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata Kempen Sia Sitok yang diperkenalkan kementeriannya menerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berjaya menjana lebih RM6 juta hasil jualan 2,269 pakej percutian dibeli oleh 15,642 pengembara.

Menurutnya rangkaian pakej percutian domestik yang meluas itu telah menarik minat lebih ramai pelancong empatan bercuti di dalam negeri sekali gus memanfaat industri pelancongan Sarawak.

"Kementerian saya menerusi STB telah memperkenalkan insentif diskaun percutian menerusi Kempen-Kempen Sia Sitok 1.0.2.0 dan 3.0 dan Kempen Penginapan Sia Sitok versi 1.0 dan 2.0 bagi mempromosikan percutian dalam negeri.

"Kempen-kempen ini telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelancong tempatan dan telah menjana lebih RM6 juta hasil jualan pakej-pakej percutian yang ditawarkan," katanya.

Abdul Karim berkata kementeriannya juga bekerja sama dengan industri perhotelan menerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel-Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) untuk Kempen 'Staycation' Penginapan Sia Sitok dengan diskaun 50 peratus bagi penginapan di hotel.

"Lebih RM3.5 juta hasil jualan direkodkan dengan 16,655 bilik semalam ditempah menerusi 47 penyertaan hotel di seluruh negeri. Kempen Sia Sitok Sarawak Plus dilancarkan pada 19 Januari 2022 bagi memberi peluang kepada pengembara melawat Sarawak menerusi pintu-pintu masuk utama seperti Kuching, Sibu dan Miri.

"Ia melibatkan kerja sama antara STB, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Firefly dan MASwings, pelanggan boleh menikmati pakej penginapan di hotel dan penerbangan menarik menerusi MHholidays," katanya.

Advertisement