Anda di sini

Kaji semula status taekwondo yang disingkir daripada senarai sukan teras

Advertisement

KUCHING: Presiden Taekwondo Malaysia Azizul Annuar Adenan berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula status sukan taekwondo yang telah disingkirkan daripada senarai sukan teras.

Ia katanya berikutan prestasi cemerlang direkodkan atlet-atlet taekwondo negara dalam Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea pada Mei 2022 ini dengan meraih satu pingat perak dan dua gangsa.

Pencapaian itu justeru telah mencipta sejarah baharu untuk Malaysia dalam sukan Taekwondo Poomsae, tambahnya.

"Saya selaku presiden Taekwondo Malaysia mengharapkan status sukan ini yang telah disingkirkan daripada senarai sukan teras dikaji semula ekoran pencapaian cemerlang atlet-alet taekwondo dalam Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea pada Mei 2022.

"Saya juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) terutama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mengkaji semua status kami yang telah disingkirkan dan kami berharap dapat kembali dalam sukan teras dan program podium," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Azizul Annuar Adenan
Azizul Annuar Adenan

Azizul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu berkata baru-baru ini pasukan taekwondo dengan sembilan atlet telah berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa. 

Menurut rekod, pencapaian pingat emas dalam Sukan Taekwondo Kyorugi ini merupakan pingat emas pertama di luar Malaysia sejak 17 tahun lepas, katanya.

Beliau berkata pengguguran sukan taekwondo daripada sukan teras hanya diumumkan pada 12 Disember 2017 melalui media massa tanpa sebarang notis atau surat rasmi kepada pihak TM (WTF) sehingga kini. 

"Pihak (persatuan) taekwondo sehingga hari ini langsung tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang mengenai pengguguran sukan taekwondo walaupun pihak kami telah berulang kali berhubung dengan pihak KBS sebelum ini," katanya.

Sementara itu, kenyataan akhbar yang diberikan kepada media memetik Grand Master Dhanaraj Rassiah, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Teknikal merangkap Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia sebagai berkata: “Keputusan pengguguran sukan taekwondo telah memberi impak yang begitu besar kepada pembangunan sukan taekwondo tanah air. 

Menurutnya ramai jurulatih dan atlet negeri yang telah membuat persiapan untuk SUKMA telah ditamatkan kontrak serta-merta.

Kebanyakan kemudahan dan perkhidmatan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dihadkan atas alasan sukan taekwondo tidak tersenarai dalam sukan teras lagi. 

Lebih-lebih lagi program-program pembangunan atlet remaja di peringkat kebangsaan dan negeri tidak dilaksanakan lagi buat masa ini.

“Situasi ini bukan sahaja mengancam pembangunan atlet remaja taekwando tetapi memutuskan semangat dalam kalangan atlet dan jurulatih malah juga membebankan Taekwondo Malaysia mendapatkan bantuan penajaan bagi tujuan kemajuan serta pencapaian visi dan misi kami untuk meraih pingat emas Olimpik yang pertama melalui sukan taekwondo,” katanya. 

Advertisement