Anda di sini

Formula Satu: Verstappen raja Grand Prix Sepanyol

Advertisement
 

MONTMELO: Juara dunia, Max Verstappen (gambar) menangani beberapa masalah sebelum mengetuai kemenangan satu dua pasukan Red Bull bersama Sergio Perez dan menerajui saingan kejuaraan dunia selepas petang yang mengecewakan buat Charles Leclerc dan pasukannya Ferrari di Grand Prix Sepanyol pada Ahad.

Kemenangan Verstappen adalah kemenangan ke-24 dalam kariernya dan yang ketiga berturut-turut musim ini apabila melepasi garisan penamat dengan kelebihan 13 mata berbanding rakan sepasukan Perez sementara George Russell mengesahkan kebangkitan semula Mercedes apabila menduduki tempat ketiga.

Leclerc, yang mendahului senarai keseluruhan kategori pemandu dan menguasai sesi latihan bebas, bermula baik dari petak pertama sehingga terpaksa kembali ke garaj selepas masalah enjin.

Dia kini tercicir ke kedudukan kedua keseluruhan dengan 104 mata berbanding 110 mata dikumpul Verstappen.

Tewas dari permulaan perlumbaan, Verstappen terbabas seketika dari litar dan mempunyai masalah teknikal tetapi menanganinya dengan pemanduan cemerlang selain dibantu rakan sepasukannya untuk meraih kemenangan kedua di Litar Catalunya, di mana dia meraih kemenangan sulung ketika masih remaja pada 2016.

“Saya terbabas pada awal perlumbaan,” kata pemandu berusia 24 tahun dari Belanda itu. “Sistem DRS saya tidak sentiasa berfungsi dan ia menjadikan keadaan sangat sukar tetapi kami berjaya menggunakan strategi untuk terus di hadapan.

“Ia sukar pada awal tetapi bagus pada akhirnya. Saya cuba untuk terus fokus. Ia tidak menarik apabila perkara seperti itu berlaku tetapi saya berasa sangat gembira untuk menang dan juga gembira dengan ‘Checo’ (Perez). Ia keputusan hebat untuk pasukan.”

Perez, walaupun tidak gembira, berpuas hati untuk pasukannya.

“Saya gembira dengan podium pertama saya di Sepanyol,” katanya. “Ia adalah sengit dan saya gembira untuk pasukan tetapi kami perlu bercakap lagi.”

“Ia adalah perlumbaan dalam dua bahagian,” kata pengurus Red Bull, Christian Horner. “Kepantasan kami cukup bagus dan ia mengecewakan buat Charles kerana saya fikir ia pastinya saingan yang menarik.

Dia mempertahankan keputusan pasukan untuk mengarahkan Perez membenarkan Verstappen memintasnya. “Ia adalah tanggungjawab kami untuk membawa kedua-dua kereta ke garisan penamat. Ia adalah perkara yang tepat untuk dilakukan.”

Carlos Sainz menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk pasukan Ferrari, di hadapan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang mempamerkan pemanduan cemerlang bersama Mercedes selepas berlanggar pada pusingan pertama dan Valtteri Bottas dari pasukan Alpha Romeo di tempat keenam.

Hamilton terpaksa memperlahankan keretanya pada akhir pusingan kerana masalah enjin, membolehkan Sainz memintasnya untuk tempat keempat.

“Rentak kepantasannya adalah luar biasa,” kata pengurus Mercedes, Toto Wolff.

Hamilton dipilih sebagai ‘pemandu terbaik pada hari perlumbaan’ oleh peminat menerusi laman sesawang rasmi Formula Satu (F1).

Esteban Ocon (Aphine), Lando Norris (McLaren), Fernando Alonso (Alpine) dan Yuki Tsunoda (Alpha Tauri) melengkapkan 10 pemandu teratas yang menamatkan perlumbaan. — AFP

Advertisement