Anda di sini

AC Milan ungguli kejuaraan Serie A Itali

Advertisement
Pemain AC Milan bergambar bersama trofi kemenangan setelah berjaya menjuarai Serie A Itali tamat perlawanan di antara Sassuolo dan AC Milan, stadium Citta del Tricolore di Sassuolo. — Gambar AFP
Pemain AC Milan bergambar bersama trofi kemenangan setelah berjaya menjuarai Serie A Itali tamat perlawanan di antara Sassuolo dan AC Milan, stadium Citta del Tricolore di Sassuolo. — Gambar AFP

MILAN: AC Milan memenangi kejuaraan Serie A Itali yang pertama mereka dalam tempoh 11 tahun pada Ahad selepas menewaskan Sassuolo 3-0 di Reggio Emilia untuk merampas kejuaraan dari kelab jiran, Inter Milan pada hari terakhir musim.

Memerlukan hanya satu mata untuk mengesahkan kejuaraan liga, Milan menewaskan pasukan tuan rumah dengan dua gol Olivier Giroud dan satu lagi gol Franck Kessie dalam separuh masa pertama di hadapan sejumlah penyokong mereka di Stadium Mapei.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu menamatkan musim dengan kelebihan dua mata di hadapan Inter, yang menewaskan Sampdoria 3-0 di San Siro namun gagal mempertahankan kejuaraan mereka.

Penyokong berpesta di Milan dan menyanyikan lagu ‘We Are The Champions’ bersama-sama pemain dalam padang di Reggio Emilia ketika Milan kembali ke kemuncak liga selepas bertahun-tahun pasukan lemah dan masalah kewangan sejak kali terakhir muncul juara pada 2011.

“Kami selayaknya kejuaraan ini kerana sentiasa percaya ia satu kemungkinan,” kata Pioli selepas memenangi kejuaraan utama yang pertamanya sebagai jurulatih pada usia 56 tahun.

“Pemain saya tidak pernah mengalah, mereka semua hebat. Saya menikmatinya kerana saya dapat melihat pemain saya juga menikmatinya.”

Milan sudah membayangkan kejuaraan apabila memenangi enam perlawanan terakhir dan mengesahkan satu kejuaraan yang sudah lama dibayangkan pada musim di mana Inter harus menyalahkan diri mereka kerana prestasi turun naik.

Mereka juga dibantu oleh satu lagi aksi menarik oleh pemain sayap, Rafael Leao, dan juga kecemerlangan Giroud, yang menjaringkan beberapa gol penting buat Milan musim ini walaupun hanya menjaringkan 11 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Sassuolo dengan pantas hilang rentak ketika berdepan Milan dan kelihatan menghadiahkan Giroud peluang dengan kedua-dua gol yang hampir sama dengan kedua-duanya dari umpanan Leao.

Dan empat minit kemudian, Leao juga melakukan larian deras dari sayap kanan dan mengumpan kepada Kessie untuk gol ketiga Milan, gol sempurna untuk hadiah selamat jalan sebelum berpindah ke Barcelona pada akhir musim ini.

“Apabila saya datang ke sini (semasa Krismas 2019), saya berkata saya akan membawa Milan kembali ke kemuncak dan saya akan memenangi kejuaraan,” kata Zlatan Ibrahimovic, yang berada di Milan pada kali terakhir mereka memenangi kejuaraan liga.

“Ini adalah kumpulan pemain yang hebat. Kami bekerja-keras dengan senyap dan pada akhirnya, kami adalah juara kerana dua tahun yang lepas, situasinya sangat berbeza.”

Penyokong Inter membanjiri Stadium San Siro dengan harapan pasukan mereka akan mengambil peluang dari sebarang keciciran mata buat Milan tetapi pulang dengan kesedihan apabila kemenangan ke atas Sampdoria tidak memberikan sebarang makna.

Berita gol awal Milan juga menyebabkan suasana suram ketika Inter gagal menjaringkan gol dalam separuh masa pertama.

Seperti yang kerap berlaku musim ini, Ivan Perisic bertindak bersendirian apabila membuka jaringan dari satu umpanan Nicolo Barella.

Selepas itu, Sampdoria mengalah dan dua gol dalam beberapa minit dari Joaquin Correa memastikan kemenangan yang tidak bermakna buat Inter.

Penyokong Inter tetap memberikan tepukan hormat kepada pasukan mereka walaupun kehilangan kejuaraan liga.

“Saya fikir pasukan perlu menerima tepukan. Ia adalah musim hebat yang mungkin boleh menjadi lebih luar biasa,” kata jurulatih Inter, Simone Inzaghi.

“Kami mengharungi satu tempoh buruk tetapi menang sembilan dari 10 perlawanan terakhir walaupun ia tidak memadai.”

Di kelompok bawahan, Salernitana melengkapkan keajaiban apabila terselamat dari penyingkiran walaupun dibelasah 0-4 oleh Udinese, dengan Cagliari tersingkir ke Serie B selepas hanya seri tanpa jaringan dengan Venezia.

Cagliari harus menang untuk mempunyai harapan terus kekal tetapi gagal mencari satu gol dan menamatkan musim satu mata dan satu anak tangga di belakang Salernitana yang berada di atas zon penyingkiran. — AFP

Advertisement