Anda di sini

3,471 menara telekomunikasi sudah siap dibina di seluruh Sarawak

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 3,471 menara telekomunikasi sudah siap dibina di seluruh Sarawak setakat ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, 1,043 menara telekomunikasi lagi sedang dibangunkan secara berperingkat sehingga suku ketiga 2023.

"Bakinya pula iaitu 2,486 menara baharu akan dibina dalam tempoh tahun 2025 hingga 2030. Dianggarkan, sebanyak 7,000 menara telekomunikasi diperlukan untuk memastikan liputan perkhidmatan telekomunikasi yang menyeluruh di Sarawak," ujarnya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Julaihi meneliti teks ucapan penggulungan untuk kementeriannya bersama timbalan menteri dan ADUN yang lain di DUN hari ini.
Julaihi meneliti teks ucapan penggulungan untuk kementeriannya bersama timbalan menteri dan ADUN yang lain di DUN hari ini.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, daripada jumlah 3,471 menara telekomunikasi yang sudah siap dibina, 3,186 sudah beroperasi.

"Manakala, 285 sedang dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi dan dijangka beroperasi sepenuhnya penghujung tahun ini," ujarnya.

Untuk rekod katanya, daripada 3,471 menara telekomunikasi yang dibina di Sarawak, sejumlah 584 menara telekomunikasi dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Julaihi berkata, kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah mewujud dan melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) bagi menyediakan kemudahan Internet kepada rakyat Sarawak.

Inisiatif ini katanya, merupakan langkah intervensi proaktif kerajaan Sarawak untuk menyediakan kesalinghubungan di Sarawak sebagai pemangkin kepada ekonomi digital.

Menurutnya, terdapat enam inisiatif utama SALURAN iaitu pembinaan 600 menara baharu yang dilengkapkan dengan peralatan telekomunikasi di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunications (SMART) dan, penyediaan dan kemudahan capaian jalur lebar WIFI SALURAN menggunakan teknologi satelit di 250 kawasan yang tiada perkhidmatan telekomunikasi.

"Inisiatif lain pula ialah perluasan khidmat SarawakNet melalui program Digital Socio Economy ke 60 tapak di seluruh Sarawak, perluasan liputan gentian optik sepanjang 130km di Sebauh, Bintulu melalui projek perintis Sebauh Rural High-Speed Open Broadband Network, penyediaan Point of Interconnect (Pol) bagi menyediakan perkhidmatan Internet untuk sembilan taman negara di Sarawak dan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tetap tanpa wayar melalui pakej Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN)," katanya.

Sehubungan itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.89 bilion untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut.

Ujarnya, Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sarawak yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan menerusi SKMM juga diselaras di bawah inisiatif SALURAN untuk mengelak pertindihan tapak.

Beliau turut memaklumkan subsidi kemudahan perkhidmatan telekomunikasi di luar bandar yang disediakan secara percuma setakat ini melalui inisiatif SALURAN adalah berjumlah RM305.5 juta setahun yang dinikmati oleh lebih 470,000 pengguna.

Mengenai usaha mengatasi masalah ketersambungan di Sarawak, Julaihi berkata, penggunaan teknologi Multi-Operator Care Network (MOCN) turut digunakan.

MOCN katanya, merupakan teknologi yang membolehkan perkongsian peralatan pemancar serta spektrum boleh digunakan oleh pelbagai operator berlainan seperti Celcom, Digi, Maxis dan UMobile.

"Kesemua menara baharu ini akan menggunakan teknologi MOCN yang mempunyai kelebihan dari segipenjimatan kos serta penggunaan spektrum yang lebih efisien. Ini bermakna, mana-mana perkhidmatan telekomunikasi boleh digunakan sekiranya menara tersebut dilengkapi dengan teknologi MOCN," jelasnya.

Untuk makluman tambahnya, menara SMART di Luban Ulu, Betong merupakan menara MOCN pertama di Malaysia yang telah dilancarkan oleh Premier Sarawak pada tahun 2020.

  • oleh
  • Advertisement