Anda di sini

RB Leipzig raih kejuaraan sulung Piala Jerman

Advertisement

BERLIN: RB Leipzig, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, menjulang Piala Jerman pada cubaan kali ketiga apabila menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas bangkit mengikat kedudukan 1-1 sehingga masa tambahan ketika menentang Freiburg pada Sabtu.

“Untuk menang dengan 10 pemain menunjukkan sepenuhnya tentang mentaliti kami dan saya benar-benar berasa bangga. Ia hebat untuk akhirnya memenangi kejuaraan pertama,” kata pemain tengah Leipzig, Emil Forsberg.

Maximilian Eggestein meletakkan Freiburg di hadapan pada awal perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik di sini, sebelum Christopher Nkunku mengikat kedudukan pada minit ke-90 selepas pemain Leipzig, Marcel Halsteberg dibuang padang.

Kemenangan Leipzig ini akhirnya dicapai selepas tewas dua final sebelum ini, kepada Bayern Munich pada 2019 dan kemudian Dortmund pada musim lepas.

“Ia gila, kami bermain 60 minit permainan dengan 10 pemain,” kata pengarah urusan Leipzig, Oliver Mintzlaff.

“Kami akan  berpesta kerana ini adalah malam penuh bersejarah bagi kami.”

Pemain RB Leipzig meraikan kejayaan mereka dengan menjulang trofi kejohanan selepas menumpaskan Freiburg pada final Piala Jerman di Stadium Olympic di Berlin. — Gambar AFP
Pemain RB Leipzig meraikan kejayaan mereka dengan menjulang trofi kejohanan selepas menumpaskan Freiburg pada final Piala Jerman di Stadium Olympic di Berlin. — Gambar AFP

Majlis penyampaian hadiah tertangguh ketika apabila seorang yang dikatakan penyokong bola sepak, mendapat rawatan kecemasan dalam padang.

Ia adalah kejuaraan pertama buat RB Leipzig, yang disokong oleh syarikat minuman tonik gergasi, Red Bull dan hanya diasaskan pada 2009.

Mereka melonjak ke hierarki tertinggi bola sepak Jerman apabila naik empat liga dalam masa tujuh tahun untuk sampai ke Bundesliga Jerman pada musim 2016/2017, dua kali menamatkan musim di tangga kedua di belakang Bayern Munich dalam enam tahun terakhir.

Jurulatih Leipzig, Domenico Tedesco menamatkan musim pertamanya dengan satu trofi selepas menggantikan Jesse Marsch pada Disember.

Pada penentuan sepakan penalti, kapten Freiburg, Christian Guenter, dan pemain gantian, Ermedin Demirovic, gagal menyempurnakan penalti mereka dengan kesemua empat pemain Leipzig berjaya menyempurnakan penalti.

Freiburg membayangkan kejuaraan apabila rembatan Eggestein menewaskan penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi pada minit ke-19.

Pemain Leipzig membantah gol itu selepas rakaman perlawanan menunjukkan bola terkena tangan pemain Freiburg, Roland Sallai sebelum gol dijaringkan namun gol itu dibenarkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Keadaan menjadi lebih mudah buat Freiburg apabila Halstenberg dibuang padang selepas menerima kad merah serta-merta kerana mengasari penyerang Freiburg, Lucas Hoeler,  yang berpeluang menjaringkan gol.

Leipzig menerima pujian kerana enggan mengalah dan pemain pertahanannya, Willi Orban menanduk satu tendangan percuma kepada Nkunku untuk menjaringkan gol penyamaan.

Walaupun kurang seorang pemain, Leipzig memburu gol kemenangan.

Hanya ketangkasan penjaga gol Freiburg, Mark Flekken menafikan satu tendangan percuma Dominik Szoboszlai sebelum rembatan Dani Olmo melambung tinggi.

Permainan berlarutan ke masa tambahan dan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol kemenangan sebelum sepakan penalti menjadi penentu siapa yang akan pulang dengan trofi kejuaraan.

Ini adalah kali pertama dalam 11 tahun di mana Bayern Munich atau Borussia Dortmund gagal ke final.

Bayern, juara Bundesliga Jerman, disingkirkan di pusingan kedua pada bulan Oktober apabila dimalukan 0-5 oleh Borussia Moenchengladbach. — AFP

Advertisement