Anda di sini

Pekerja syarikat kurier buli OKU didenda RM1,000

Advertisement
 

KUCHING: Akibat membuli dan cuba mencederakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pada awal Mei lalu, seorang pekerja syarikat perkhidmatan kurier didenda RM1,000 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Aidid Mohamad Supian, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba mencederakan mangsa lelaki berusia 38 tahun dengan cara menggunakan sarung plastik picagari serta mercun yang dibakar dan dihalakan kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 10 Mei lalu, sekitar jam 11 pagi, di belakang pejabat syarikat kurier berkenaan yang terletak di Bandar Baharu Semariang di sini. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, semasa abang mangsa (pengadu) melayari laman sosial Facebook pada hari kejadian, pengadu terlihat satu video yang menunjukkan mangsa dibuli oleh individu yang tidak dikenali. 

Dalam video tersebut juga, pengadu melihat mangsa dibuli dengan menggunakan mercun dan satu benda tajam.

Pengadu seterusnya membuat laporan untuk tindakan pihak polis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media pada 11 Mei lalu berkata, tertuduh ditangkap selepas laporan dibuat terhadapnya, susulan video kejadian buli tersebut tersebar di media sosial.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kes adalah lebih kepada tertuduh yang bertindak membuli mangsa dan tiada unsur dendam atau lain-lain.

Advertisement