Anda di sini

Marseille tamatkan Ligue 1 Perancis di tangga kedua

Advertisement

PARIS: Marseille mengesahkan kelayakan automatik ke pusingan pertama Liga Juara-Juara musim hadapan pada malam terakhir musim Ligue 1 Perancis yang mencuri tumpuan dengan pengumuman bahawa Kylian Mbappe akan terus kekal di Paris Saint Germain (PSG) pada Sabtu.

Marseille memulakan perlawanan terakhir liga dengan berada di  tangga ketiga – yang menawarkan satu tempat ke pusingan ketiga kelayakan ke Liga Juara-Juara – di belakang Monaco dengan perbezaan gol. Ini bermakna mereka perlukan keputusan lebih baik berbanding Monaco untuk menamatkan liga di tangga kedua.

Juara Liga Juara-Juara pada 1993 itu mencapai sasaran mereka apabila membelasah Strasbourg 4-0 di Stadium Velodrome dengan Gerson menjaringkan dua gol dan masing-masing satu gol dari Cengiz Under dan Cedric Bakambu.

Tidak lama selepas gol keempat itu, penyokong Marseille bersorak lebih ceria apabila mendengar berita bahawa Monaco bolos gol penyamaan minit akhir untuk seri 2-2 di Lens.

 Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antar Marseille dan Strasbourg di Stade Velodrome di Marseille. — Gambar AFP
Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antar Marseille dan Strasbourg di Stade Velodrome di Marseille. — Gambar AFP

Monaco berada di pertengahan liga sebelum bangkit dengan sembilan kemenangan berturut-turut dan mereka dijangka meraih kemenangan ke-10 apabila bangkit dari ketinggalan di Lens dan  mendahului 2-1 menerusi gol Benoit Badiashile dan Wissam Ben Yedder.

Namun Ignatius Ganago menjaringkan gol penyamaan enam minit dalam masa kecederaan untuk mengikat kedudukan buat Lens dan menafikan Monaco, yang terpaksa akur menamatkan musim di tempat ketiga dan akan bermain dari peringkat ketiga  kelayakan ke Liga Juara-Juara untuk memburu tempat ke pusingan pertama kejohanan.

Mereka gagal layak ke pusingan pertama Liga Juara-Juara apabila tewas kepada Shakhtar Donetsk di peringkat kelayakan musim lepas.

Marseille menyertai PSG ke pusingan pertama Liga Juara-Juara  sementara Rennes layak ke pusingan pertama Liga Europa selepas menduduki tempat keempat apabila bangkit dari ketinggalan sebelum mengikat Lille 2-2 di tempat lawan.

Timothy Weah menjaringkan dua gol untuk Lille tetapi Benjamin Bourigeaud menjaringkan gol penyamaan pertama sebelum Serhou Guirassy menjadikan kedudukan 2-2 pada minit kecederaan.

Strasbourg dinafikan tempat kelima dan satu tempat ke Liga Konferensi Europa selepas Nice bangkit dari ketinggalan dua gol sebelum menang 3-2 di Reins dengan Andy Delort menjaringkan hatrik lewat di mana ketiga-tiga gol itu hadir dalam tempoh lapan minit.

Bordeaux disahkan tersingkir ke Ligue 2 walaupun menang 4-2 di Brest ketika rekod 30 tahun beraksi dalam Ligue 1 berakhir.

Metz menyertai mereka ke Ligue 2 selepas tewas 0-5 kepada PSG, yang meraikan kemenangan berganda apabila Mbappe, penjaring hatrik, membuat keputusan untuk terus kekal di PSG, selain dua lagi gol dijaringkan Neymar dan Angel di Maria.

Saint Etienne memulakan perlawanan  terakhir di tangga tercorot tetapi bangkit dari ketinggalan untuk seri 1-1 di Nantes, membolehkan mereka memintas Metz untuk layak ke perlawanan playoff penyingkiran. — AF

Advertisement