Anda di sini

Geran khas Sarawak dalam rundingan

Advertisement

KUCHING : Sarawak masih meneruskan rundingan untuk geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama itu adalah di bawah Perjanjian Majlis Khas Malaysia 1963 (MA63).

“Rundingan bagi hak pemberian khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kini sedang diusahakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama di bawah Majlis Khas mengenai MA63.

“Ini supaya formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dapat dibincang dan dipersetujui bagi memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil dan saksama,” katanya menjawab pertanyaan daripada Wilfred Yap (GPS-Kota Sentosa) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menegaskan pengagihan geran khas kepada Sarawak sepatutnya berdasarkan formula yang munasabah dan pragmatik.

“Kita tidak mahu kerajaan persekutuan hanya memberikan angka, dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan persekutuan seperti yang ditetapkan di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri tidak dapat mencapai persetujuan, beliau berkata, ia boleh diselesaikan mengikut Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Jika mana-mana kajian semula kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak dapat mencapai persetujuan dalam apa-apa perkara, ia hendaklah dirujuk kepada penilai bebas, dan saranan mengenainya hendaklah mengikat kerajaan yang berkenaan dan hendaklah berkuat kuasa seperti persetujuan antara dua kerajaan itu,” jelasnya.

Advertisement