Anda di sini

Skop kerjasama ASEAN perlu perancangan rapi supaya Bahasa Melayu kembali jadi 'lingua franca'

Advertisement
Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Gambar BERNAMA
Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap skop kerjasama antara negara-negara  ASEAN dapat dirancang dengan lebih rapi supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan ‘lingua franca’.

Beliau berkata ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN,” katanya ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata di peringkat ASEAN penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Justeru katanya Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Ismail Sabri menjelaskan peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu diperincikan dengan lebih jelas supaya pelaksanaan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Beliau menegaskan Malaysia dan rakyatnya sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan. 

Perdana Menteri menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

Katanya perluasan penggunaan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. 

“Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah Bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan, dan ia antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember tahun lepas, iaitu diplomasi kebudayaan.

Menurut Ismail Sabri, ketika sidang kemuncak khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington baru-baru ini beliau juga bercakap dalam bahasa kebangsaan termasuk pada sesi rundingan dua hala dengan negara lain pada sidang itu.

Katanya semua surat yang dihantar kepada pemimpin dunia juga dalam bahasa kebangsaan, dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula hari ini hingga 24 Mei adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri dengan DBP serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Simposium itu melibatkan tiga Ucap Utama, 15 Sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara ASEAN dan antarabangsa serta dua forum membabitkan 12 tokoh. - BERNAMA 

Advertisement