Anda di sini

Memenangi EPL lebih sukar dari Liga Juara-Juara

Advertisement
 

MANCHESTER: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa memenangi Liga Perdana adalah lebih sukar berbanding menjulang trofi Liga Juara-Juara.

City berada pada landasan yang betul untuk merangkul gelaran domestik keempat mereka dalam lima musim, dan kemenangan di tempat sendiri kepada Aston Villa dalam perlawanan terakhir mereka musim ini hari ini sudah cukup untuk menobatkan mereka sebagai juara tanpa mengira keputusan pasukan tempat kedua Liverpool yang dalam masa yang sama menentang Wolves di Anfield.

Liverpool, yang telah memenangi Piala Liga dan Piala FA musim ini, masih boleh menambah trofi perak mereka musim ini dengan mengalahkan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara.

Skuad Merseyside itu telah dinobatkan sebagai juara Eropah sebanyak enam kali, satu penghormatan yang masih dicari oleh City, walaupun dengan pimpinan Guardiola sejak 2016.
Bagaimanapun, jurulatih dari Sepanyol itu berkata memenangi Liga Perdana lebih sukar berbanding mara ke peringkat akhir Eropah.

“Saya mengakui ia lebih sukar. Banyak minggu dan permainan, bergelut dengan kecederaan, detik-detik baik dan buruk dengan situasi yang berbeza, lawan-lawan yang sukar,” jelas Guardiola.

Dia menambah: “Saya tidak mengatakan Liga Juara-Juara tidak penting. Kita tergila-gila untuk memenanginya. Kami mahukannya, kami menyanjungnya.

“Kami ingin berada di Paris untuk final minggu depan tetapi untuk memenangi 38 perlawanan, bukannya enam, lapan atau sembilan perlawanan, ia berbeza.” — AFP 

Advertisement