Anda di sini

Keunikan Metafora dalam Puisi Abizai (Bahagian 1)

Advertisement
 

Oleh Jeniri Amir

ABIZAI telah tumbuh dan berkembang sebagai penyair takah demi takah, tahun demi tahun dan dekad demi dekad. Perjalanannya panjang dan berliku sejak mula berkarya pada awal dekad 1980-an dan kini sudah menghampiri 40 tahun usia kepenyairan. Ini usia yang boleh dikatakan matang. Puisi beliau dalam tempoh empat dekad itu bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian, keragaman, keseriusan dan kematangan fikiran, persoalan dan perasaan, tetapi juga kepelbagaian bentuk serta keseriusan dan kematangan pengolahan. Puisi seperti sastera pada umumnya, melahirkan perasaan dan pemikiran. Penyair mengambil serius puisi sebagai wadah pengucapannya sebagaimana dinyatakannya melalui beberapa buah puisi yang mengungkapkan soal puisi dan kepenyairan. 
Hasil pengorbanan dan kesungguhannya, beliau akhirnya mencapai kejayaan demi kejayaan, bermula dengan memenangi hadiah di peringkat negeri melalui Hadiah Sastera Sarawak, kemudiannya di peringkat nasional dan rantau, sebelum akhirnya dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak. Jika beliau terus tekun dan menanjakkan mutu karyanya menuju dekad kelima pembabitannya dalam bidang ini, pasti beliau akan mencapai puncak kejayaan. Siapa tahu suatu hari nanti beliau akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara -- pengiktirafan tertinggi dalam bidang sastera di negara ini.
Abizai ialah penyair ulung dalam dunia sastera dan kepenyairan Melayu di negara ini. Apakah rahsia atau faktor yang membawa kejayaan kepada beliau dalam bidang ini?
Pertama, Abizai berjaya sebagai penyair kerana kecintaan yang mendalam terhadap bidang puisi. Meskipun turut menulis esei kritikan, namun, beliau lebih dikenali sebagai penyair. Beliau menumpukan perhatian luar biasa terhadap puisi sehingga seluruh bakat, tumpuan dan pemikirannya ditumpahkan kepada usaha untuk mempelajari selok-belok puisi. Dengan azam yang kuat untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi selama hampir 40 tahun, maka akhirnya beliau mengecap madu manis kejayaan sebagaimana terbukti daripada pelbagai hadiah dan anugerah yang dimenanginya.
Kedua, berkat kesabaran, komitmen, kesungguhan, pengorbanannya, serta bakat dan daya imaginasinya yang tinggi, Abizai berjaya membina trademark, identiti dan peribadinya sendiri. Beliau sudah memperlihatkan bibit-bibit awal kematangannya ketika menuju dekad kedua pembabitannya dalam dunia puisi – satu tempoh yang agak singkat. Kesudahannya, kita dapat menyaksikan penyair yang memiliki stail atau gaya tersendiri sehingga menampilkan idiosinkrasinya. Inilah pencapaian dan kehebatan yang tidak banyak dapat dicapai oleh penyair tanah air, kecuali penyair seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Latiff Mohidin, T. Alias Taib, Zurinah Hassan dan Kemala.
Ketiga, penyair ini juga mempunyai kekuatan dalam reaksi dan refleksi terhadap apa-apa yang berlegar dan berkembang di sekitarnya – di kampung, bandar, negeri, negara, rantau dan dunia. Itulah sebabnya, isu dan persoalan sekali gus watak yang dicakupinya amat luas, merangkum kebanyakan persoalan tentang dirinya atau kawasan-kawasannya, isu politik, ekonomi, sosial, alam, pendidikan dan seumpamanya. Sesuai dengan anjuran Matthew Arnold, beliau melakukan kritikan terhadap manusia dan kehidupan dengan maksud menilai dan memberi pandangan beliau terhadap pelbagai isu dan masalah yang berkembang dalam masyarakat dan negara. Sesungguhnya, penyair sama seperti pujangga yang baik, harus sentiasa cuba merenung, mentafsir, menilai dan mencari jawapan untuk masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negaranya. Penyair bukan sahaja sekadar menghidangkan masalah, tetapi sebagai intelektual dan pemikir zaman, Abizai turut mencari jalan penyelesaian untuk merungkaikan siratan dan belenggu masalah berkenaan.
Tema dan persoalan berkenaan bukan sahaja menggambarkan kekayaan pengalaman dan ilmu pengetahuannya membabitkan sejarah, sosiologi, psikologi, tingkah laku manusia, ilmu alam, falsafah dan agama, tetapi juga memperlihatkan perspektif dan pendiriannya. Ada watak yang dirakamkan, tidak kurang juga yang dipuja, dihargai dan dikritik ke arah menggagaskan pemikiran dan nilai murni yang perlu dipegang demi kesejahteraan hidup diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Tema dan persoalan yang diangkat oleh beliau berpusat kepada pemikiran yang meletakkan nilai luhur dan unggul di tempat teratas. Penyair menyerlahkan betapa nilai kejujuran, kebenaran dan pengorbanan perlu ditekankan kerana nilai-nilai inilah yang menentukan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran dalam pembinaan tamadun manusia.
Keempat, nilai, perutusan, pengajaran atau mesej yang disampaikannya tidak disampaikan secara propagandistik atau dakwah, sebaliknya disampaikan secara tidak langsung melalui perlambangan, metafora, kiasan, imej dan diksi tertentu.
Kelima, penyampaian, tema, persoalan dan pemikirannya disampaikan melalui stail bahasa yang indah dan menarik, dengan memelihara penghematan dan memanipulasikan unsur jalinan penulisan kesusasteraan terutama metafora, simile, personifikasi, rima dan irama yang indah pada halwa telinga. Tidak syak lagi, Abizai ialah seorang penyair yang tabah dan cekal mencuba pelbagai unsur bahasa, teknik dan bentuk bagi mencapai kematangan dan kualiti tinggi karya. Bahasa, teknik dan bentuk penulisan puisinya disegarkan melalui usaha bereksperimen dari segi bahasa bagi mengelakkan kelusuhan atau klise. 
Keenam, puisinya sarat dengan pengalaman, pemikiran, renungan yang memang mengutamakan keseronokan dan kenikmatan, tetapi akhirnya membawa kepada kebijaksanaan dan pengajaran.
Ketujuh, karyanya merupakan satu sumbangan penting bukan sahaja kepada dunia kepenyairan, tetapi pada dunia sastera pada umumnya, melalui persoalan dan bahasa yang sentiasa segar dan kreatif. Abizai merupakan penyair yang berbakat besar dengan kecemerlangan seninya dan kehebatan keterampilannya dalam teknik persajakan dan puisi hasil daripada daya imaginasi dan kreativiti yang sentiasa subur dan tidak pernah kering. Hal ini menjadikan beliau sebagai penyair dan sasterawan moden Malaysia yang tidak diragui etos dan wibawanya.
Kelapan, pembabitannya dalam kegiatan berpersatuan dan juga kegiatan sosial yang lain, serta pendedahan kepada puisi dan penyair lain, di dalam dan di luar negara, memungkinkannya terus mempertajam bakat dan menyemarakkan semangatnya untuk menghasilkan karya terbaik untuk dibanggakan. 
Demikian, kita menyaksikan puisi karya beliau yang menggambarkan bukan sahaja dirinya, tetapi juga perubahan dan transformasi yang berlaku di luar dirinya di peringkat tempatan, bandar, negeri, negara, rantau dan dunia. Abizai mengangkat sebahagian daripada episod, peristiwa, pengalaman dan pemerhatiannya melalui daya kreativiti serta imaginasinya daripada anugerah ilham dan bakat daripada Tuhan. 
Abizai dapat dianggap sebagai pemerhati zaman dan masyarakat yang berjaya mengangkat zeitgeist atau suasana, masalah dan semangat zaman melalui pemikiran yang dirakamkannya dalam puisi. Sebagai penyair, beliau berasa terlibat untuk menjadikan puisi sebagai wadah merakamkan episod, memori, memoir, anekdot, peristiwa yang berkembang dalam masyarakat dan negara sehingga puisinya jika ditelusuri secara kronologi, bertindak sebagai satu travelog, memoir dan autobiografi. Daripada komitmen, sensitiviti, persepsi, imaginasi dan bakatnya itulah mengalir tanpa henti puisi dari tahun 1984 hingga kita dilanda pandemik COVID-19 yang mencabar dan terus menuju tahun 2022.
Satu daripada kelainan dan kelebihan Abizai yang paling menonjol adalah dari segi keupayaan beliau mencipta metafora yang segar. Menurut Rahman Shaari (1993), metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain. Katanya, sesuatu objek atau abstraksi diberikan sifat objek lain dengan menganggap objek yang kedua itu mempunyai aspek persamaan dengan objek yang pertama. Harus diingat bahawa metafora merupakan satu daripada ciri kekuatan dan tanda kreativiti dan bakat seseorang penyair. Lazimnya, metafora dibentuk hasil daripada usaha untuk mengkonkritkan sesuatu yang abstrak bagi menyampaikan pemikiran yang jitu dengan gaya yang indah dan bergaya. Metafora di tangan Abizai mencapai satu tahap kreatif dan ciptaan baharu hasil daripada daya imaginasi, kreativiti dan inovasi yang bersandarkan bakat dan kemahiran yang diadun dan diasah untuk sekian lama.  
Dalam Mengenal Yang Asal (terbitan PUTERA, 2000) antara metafora fauna yang digunakannya ialah tebu manis kejayaan, sawah padi amalan, rumpai perbuatan lalai dan pucuk cinta fana. Metafora flora pula ialah ular cemburu, gigitan serigala haloba, kuda liar nafsu, manakala metafora alam ialah danau jernih, daerah kenangan, kampung halaman insaf, jeram bahaya, denai keliru, puting beliung khianat, lahar amarah, arus deras penjajah, kolam madu, banjaran sukma dan gunung nafsu. Metafora-metafora lain ialah sangkar ingkar, unggun semangat, payau kesukaran, mangkuk hidup, jeram bahaya dan semangkuk anggur cinta. Perhatikan bagaimana telitinya beliau menggunakan metafora dengan menggunakan pasangan kata yang serasi untuk mewujudkan logika dan kesan yang sesuai. Untuk memperlihatkan keadaan yang bahaya atau sikap dan unsur negatif digunakan jeram, ular, kelawar dan serigala.  
Melalui daya imaginasi dan kreativitinya, beliau melahirkan konotasi yang segar dan baharu, bahkan sesetengahnya perlu ditafsirkan dalam konteks pengalaman penyairnya. Terdapat metafora lunjuran yang memperlihatkan kawalan penyair terhadap seluruh imej dalam baris, teks dan wacananya. Sedapat mungkin, Abizai kelihatan cuba mengelak daripada menggunakan metafora usang atau klise. Antara metafora yang terkandung dalam kumpulan ini ialah bahtera kalbu, layar ingatan, bahtera keistimewaan, pohon bakat, baja ilham, gua rahsia, gua hati, gua dendam, permata merdeka, lembah dosa, kolam kalbu, mutiara rahmat, udara kebebasan, labah-labah ketakutan, pelangi kegemilangan, angkasa cita-cita, padang keajaiban, kolam fikiran, angin ria dan daun rasa,
Metafora-metafora lain ialah dasar hati, sawah benar, ular onar, tebu janji, lembah keliru, ikan cekal, sinar zikir, sinar benar, emas keberanian, emas mewah, sungai usia, serai budi, serai sedar, tasik emosi, empangan hati, ranting impian, ombak kenangan, paruh nafsu, lampu palsu, jeriji sepi, menara impian, pisau keadilan, tembok prasangka, dinding perpaduan, madu ilmu, rumah sabar, kain tawaduk, segelas ikhlas, gula-gula manis keasyikan, peluru tuduhan, pistol angkuh, jari dendam, sangkar hidup, buah harap, pulau khusyuk, debu kotor nanah duka, nanah amarah, najis cemburu, sampah dendam, lendir berahi, kapak dendam, angin iri hati, ombak haloba, ombak takdir, payau perjuangan, halaman usia, mukim kehidupan, landasan hayat, kelopak waktu dan balai matang.
Imej dan metafora yang dipasangkan dengan personifikasi yang dibinanya tidak bercampur-campur, sebaliknya begitu teliti dengan mengambil kira logik dan persoalan atau latar puisi itu, seperti “agar setiap ombak kesalahan/ disambut pantai keadilan”, “agar tiada lembing hukuman/ menikam tersilap sasaran”, “mencantas tunas budaya malas/ di rimba sikap belukar tabiat”, dalam “AIDS (2)” ditampilkan, “sebuah sungai bertuba/ menyusur lembah pembuluh darah/ sekawan pirana ganas/ membiak di kolam usus dalam.”
Dalam Membentuk Elok di Teluk Esok (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001) yang memuatkan 52 buah puisi yang menarik, penyair menampilkan metafora seperti bunga-bunga bahasa, taman kata-kata, angin sopan, ombak kesalahan, pantai keadilan, kelopak semangat, alir fikir, mentari mutakhir, budaya malas, mempelam kemajuan, pantai tradisi, lautan sejagat, jeram cabaran, awan cita-cita, padang wawasan, jeram cabaran, arus usaha, tenunan sepakat, anggur kenikmatan, kuntum bakat, taman pustaka, daun perasaan, akar pemikiran, serangga putus asa, madu cita-cita, jalar pelaksanaan, sutera kemajuan, congak pelaburan, bulatan salah, buah tuah, penyakit malas, rusa sasaran, padang juang, lekuk pengalaman, tari kebenaran, gemalai keindahan dan selendang keyakinan.

 

Ratusan lagi metafora segar digunakannya seperti sanggul bicara, getaran angkara, urat budaya, dupa putus asa, kelambu kenyataan, lembing hukuman, tembok kebenaran, kota kepalsuan, di tangga ekonomi, di tiang sosial, cincin iman, tembok keyakinan, kota matlamat, jambatan perantaraan, semenanjung hormat, pulau kekeluargaan, sayur tolak ansur, sambal kerjasama, bantal harapan, kenyit ringgit, galak upah, kuntum senyum, tulang bantuan, buah sedekah, mulut maut dan racun derita.
Metafora lain ialah peluru maju, angkasa kuasa, taman leka, desa keinsafan, padang kesedaran, kuman dadah, luka masalah, sampah dadah, sirih semangat, pohon pengalaman, benih padi azam, ular penjajahan, jeram perjuangan, buah kemerdekaan, pohon-pohon kemakmuran, sarang asmara, kepak syukur, ranting indah, layar usaha, sawah bakti, lorong sejarah, rimba merdeka, layang-layang wawasan dan teraju peranan.
Juga telur amanah, sekawan setia, awan larat sopan, siling perlakuan, kulit sukma, rerama bangsa, lalang leka, bunga jaya, pantai nyata, padang siang, tentera cita-cita, telur dendam, kolam mesra, lumpur khilaf, khasiat susu semangat, gunung hormat, bahtera ingatan, sayap impicita, angkasa nyata, kapal cekap, sekuntum rela, puncak usaha, ladang ganjaran, bau kasihan, tengkuk kejutan, haba dosa, buah rasuah, buah jaya dan semangkuk kecewa.
Selain itu, beliau juga menggunakan metafora pokok usaha, perahu hasrat, pantai nyata, tukul berani, paku yakin, atap semangat, hujan dugaan, kanta sedar, cincin sopan, pangsapuri janji, duri cuai, payung insaf, terik mentari mungkar,tubuh iman, lembah putus asa, puncak cita-cita, sepatu hati-hati, nanah sengketa, kesumat dendam, buah kalah, kuman permusuhan, dawai damai, kolam persahabatan, kapal cekal, daratan impian, kaca halangan, mutiara kejayaan, parut kesedaran, kulit ingatan, gurun bahaya, gula keinginan, penyakit inflasi, pokok pembaziran, ladang fikiran dan cermin tindakan.
Beliau juga menggunakan sotong untung, zuriat timbang rasa, benih tanggungjawab, ulat abai, bunga setia, rama-rama laba, lembah belanja, sepatu sederhana, paya usaha, senjata tajam kesilapan, buah maruah, ombak kalah, asap dupa tanggungjawab, jeram sabar, sisik megah, paruh maruah, kuala usaha, pelayaran harapan, dermaga masa depan, taman impian, perahu hasrat, pantai jodoh, bongkah masalah, lembah kehidupan dan tenunan tugas. Selain itu, metafora timah amanah, pelabuhan khidmat, darah hikmat, susu jasa, buih kecewa, bibit sengketa, pedas cili amanah, tali harap, hawa kering kesepian, padang rinduku, lembah usaha, lancang terkad, lubuk ilmu, santan pengalamanmu, pangsapuri bahagia, semangkuk ubat tanggungjawab, takhta martabat, tuba khayal, saraf fikir sungai penilaian, tikar kerehatan, bunga palsu, tubuh semangat dan jaring malu turut digunakan.
Puisi “Burulah Melayu Baru” merupakan contoh berleluasanya penggunaan metafora dalam penulisan beliau:

Barulah Melayu Baru
Melayu yang telah bersalin kulit
Melayu yang sudah bertukar isi
Sentiasa mengidam mempelam kemajuan
tanpa membuang cendawan adat resam
berani berenang di lautan sejagat
kembali merenung di pantai tradisi
tanpa melucutkan cincin iman
sopan di langkah tingkah
tegas di tegak prinsip
tinggi di awan cita-cita
luas di padang wawasan
sabar di jeram cabaran
gigih di arus usaha
kukuh di tembok keyakinan
tenang di ombak masalah
jernih di kolam niat
prihatin di pundak tanggungjawab
pemurah di lembah kebajikan
tamak di bukit pembangunan
tangkas di gelanggang ilmu
mahir di jentera teknologi
pintar di catur perancangan
arif di jejak pelaksanaan
subur di ladang kreativiti
mekar di pucuk inovasi
cekap di pencak perniagaan
bijak di congak pelaburan
ranum di buah kesejahteraan
kosong di ruang kemiskinan

Barulah Melayu Baru
Melayu yang penting di ranting antarabangsa
Melayu yang gah di rajah dunia
membina istana kejayaan
di puncak gunung cemerlang
menyusur alur penghormatan
ke muara gemilang.

Berbeza daripada puisi yang terkandung dalam kumpulan-kumpulan dinyatakan tadi, kumpulan Kitab Rahsia (terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015) dan Merdeka Burung (terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015) tidak dihiasi dengan banyak metafora. Sebaliknya, perlambangan, imej dan personifikasi lebih menguasai atau dominan. Dalam kumpulan Kitab Rahsia, antara metafora yang digunakan ialah mahkota setia, pakaian solehah, kolam bahagia, ranum harap, lorong makna, laut pandangan, air ilham dan selat ungkapan. Manakala dalam Merdeka Burung pula antara metafora yang menghiasi puisi-puisinya ialah samudera rasa, negara minda, tengkolok sesat, sepatu ragu-ragu dan padang hidup.
Dengan itu, memungkinkan beliau melakukan penganehan, penyimpangan, inovasi, anjakan makna, pengalihan, pengaburan sempadan makna atas tujuan tertentu, selain daripada mencapai keindahan dan estetika sehingga puisinya menjadi plaisire de text ketika dibaca dan dihayati. Beliau tidak sekadar bermain dengan kata, tetapi setiap kata atau diksi, ungkapan dan frasanya mendukung makna yang mendalam hasil daripada renungan dan telaah bagi mengelak lahirnya puisi karut dan puisi remeh. Beliau melakukan embanjemen atau pemenggalan baris dengan mengambil kira jalur dan nafas baris, serta keindahan baris berkenaan. Tidak hairanlah, di sana sini kita dapat menemui unsur avant-garde dari segi ungkapan, baris, metafora dan imej yang dicetuskan beliau.
Beliau sering memberi wajah dan dandanan baharu terhadap imej dan diksi biasa, memilih diksi paling tepat untuk diletakkan di bahagian paling tepat, bagi memberi kesan paling tepat dan indah. Kita dapat menemukan sungai metafora yang mengalir jernih dan lancar dalam kebanyakan puisinya. Sajak-sajaknya sebagaimana terbukti dari awal pembabitannya hingga kini, begitu rapi dan cermat dan berhemat. Kita jarang menemukan tautalogi, iaitu perulangan dan penambahan yang tidak perlu, apatah lagi baris yang mengandungi ciri-birit kata. Tautalogi sama seperti pleonasme ialah penggunaan gaya pengulangan yang mencacatkan gaya dan makna kerana kata dibazirkan secara lewah sehingga gaya mendominasi isi.

(Sambungan esei ini akan disiarkan pada 6 Jun 2022)

 

 

 

Advertisement