Anda di sini

Tujuh warga asing ceroboh pelantar diberkas

Advertisement
Zin menunjukkan kedudukan vesel yang dalam keadaan mencurigakan ditahan menerusi Op Pelantar Merah 1/2022 yang dilakukan oleh Maritim Malaysia di perairan Bintulu. -gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Zin menunjukkan kedudukan vesel yang dalam keadaan mencurigakan ditahan menerusi Op Pelantar Merah 1/2022 yang dilakukan oleh Maritim Malaysia di perairan Bintulu. -gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Negeri Sarawak berjaya menahan sekumpulan penceroboh di kawasan pelantar minyak terbiar diperairan Bintulu pada Khamis.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Op Pelantar Merah 1/2022 susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.

Menurutnya, sejurus menerima laporan berkenaan, Maritim Malaysia mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Arau ke lokasi kejadian bagi meninjau tempat kejadian serta kawasan pelantar dan perairan Bintulu.

"Semasa pemantauan dilakukan, sebuah vesel nelayan mencurigakan tanpa nombor pendaftaran dikesan dan bergerak dari sebuah pelantar berkenaan dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 10.30 pagi.

"KM Arau bagaimanapun mengambil masa hampir dua jam mengejar vesel berkenaan yang cuba melarikan diri sebelum berjaya memberhentikan vesel berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Pencerobohan di Unmanned Platform Bintulu, bertempat di Bilik Perhimpunan Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Operasi Maritim Sarawak Leftenan Komander Maritim Jesica Beludi, Pegawai Memerintah KM Sri Aman, Leftenan Komander Md Nor Ismail dan Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Maritim Sarawak Leftenan Madya Maritim Alexcis Teo.

Jelas Zin Azman, hasil pemeriksaan dan penggeledahan yang dilakukan ke atas vesel berkenaan mendapati tujuh warga asing dari negara jiran berada dalam kenderaan tersebut.

"Pihak berkuasa turut menemui beberapa peralatan yang disyaki milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang oleh pengadu dari pelantar minyak berkenaan.

"Antara barangan yang ditemui ialah kabel kuasa, pakaian 'overall', selimut dan barangan lain yang tertulis nama pelantar yang diceroboh seperti telefon satelit, radio serta jaket keselamatan," jelasnya sambil menambah anggaran kos kerugian melibatkan pencerobohan ini sekitar RM50,000.

Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Vesel Maritim Bintulu bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Ujarnya, kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri dan kes turut disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta298) kerana menceroboh pelantar yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan.

Pada masa yang dama, beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada warga tempatan atau warga asing yang melakukan jenayah berkenaan.

"Ini kerana aktiviti pencerobohan seperti ini boleh menjejaskan operasi pelantar selain memberi kesan sampingan kepada pertumbuhan ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap keselamatan perairan negara.

"Sehubungan itu, Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti jenayah dan pencerobohan yang berpotensi memberi kesan buruk kepada hasil negara," tegasnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement