Anda di sini

Nizam harap FKAT dapat diadakan selepas fasa endemik

Advertisement
 Nizam (dua kiri) memotong tujuh batang padi sebagai adat Pesta Kaamatan.
ADAT: Nizam (dua kiri) memotong tujuh batang padi sebagai adat Pesta Kaamatan.

TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) yang menjadi tarikan pelancong di daerah ini diharap dapat dilaksanakan selepas peralihan fasa endemik COVID-19 di Malaysia.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya yakin FKAT akan dapat dilangsungkan semula sekiranya keadaan COVID-19 di Sabah terus terkawal.

“Saya optimis Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dapat meneruskan semula penganjuran FKAT pada masa akan datang.

“FKAT adalah salah satu program utama di daerah ini dan ianya adalah usaha untuk memperkenalkan Tawau kepada masyarakat luar, “ katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan majlis Pesta Kaamatan peringkat daerah Tawau, di sini hari ini.

Nizam berkata rakyat di negeri ini perlu sentiasa menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan supaya wabak COVID-19 tidak kembali menular.

“Sekiranya kita mahukan kehidupan normal dan menganjurkan semua program besar seperti sebelum ini, perlunya kerjasama semua pihak supaya penularan wabak tidak kembali lagi.

“Saya berharap dengan peralihan fasa endemik ini, semua program-program yang terbantut semalam ini dapat diadakan semula,” katanya.

Mengulas mengenai Pesta Kaamatan ini, Nizam mengharapkan supaya ianya mencapai matlamat dalam merai kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini.

“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana tidak ketinggalan menganjurkan Pesta Kaamatan di daerah ini yang disambut setiap bulan Mei.

“Saya mengharapkan Pesta Kaamatan ini dapat merapatkan lagi silaturrahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang telah lama terjalin di Sabah,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Lo Su Fui dan Presiden MPT Joseph Pang.

  • oleh
  • Advertisement