Anda di sini

MAYA dijemput jadi sebahagian struktur organisasi Yayasan Sabah

Advertisement
 Salleh (duduk, tengah) ketika dalam majlis berkenaan.
KENANGAN: Salleh (duduk, tengah) ketika dalam majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA) dijemput meneroka kemungkinan untuk menjadi sebahagian daripada struktur organisasi Yayasan Sabah bagi memantapkan peranannya dalam memartabatkan dunia pendidikan di negeri ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, MAYA wajar mempunyai hubungan yang baik dengan Yayasan Sabah yang selama ini berperanan memberi peluang pendidikan kepada rakyat.

“MAYA seharusnya mengambil pendekatan yang progresif dan bukan sekadar dijadikan sebagai platform untuk kembali mengenang peristiwa-peristiwa terdahulu atau nostalgia,” katanya.

Salleh yang juga ADUN Usukan dan Pengerusi Qhazanah Sdn Bhd berkata demikian ketika berucap sempena Program Jejak MAYA dan Mesyuarat Agung Khas Tahunan di sini, hari ini.

Beliau juga menyeru MAYA supaya bersatu tenaga mencari dana bagi melaksanakan dan menjayakan pelbagai program yang dirancang khususnya yang berkaitan pendidikan.

Salleh berharap Yayasan Sabah akan terus menjadi penggerak pembangunan pendidikan dan membantu rakyat Sabah untuk terus melakar kejayaan.

“Selain Kolej Yayasan Sabah, Yayasan Sabah juga melakar kejayaan dengan mewujudkan Universiti Yayasan Sabah dan dalam hal ini, MAYA boleh menyumbang daripada segi idea ke arah memajukan lagi pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.
 

Advertisement