Anda di sini

KPDNHEP lancar SHMMP Hari Gawai dan Pesta Kaamatan

Advertisement
Nanta (tiga dari kiri) dan yang lain menunjukkan isyarat bagus setelah melancarkan SHMMP Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2022 di Song, Kapit hari ini.
Nanta (tiga dari kiri) dan yang lain menunjukkan isyarat bagus setelah melancarkan SHMMP Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2022 di Song, Kapit hari ini.

SONG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan senarai barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2022.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, skim harga maksimum ini akan dilaksanakan bermula 29 Mei sehingga 4 Jun sempena perayaan Hari Gawai di Sarawak dan 27 Mei sehingga 2 Jun sempena Pesta Kaamatan di Sabah.

"Keluarga Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak akan menyambut perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada 30 Mei dan 1 Jun hadapan. 

"Sehubungan itu, KPDNHEP terus komited untuk memastikan Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) terutamanya sepanjang musim perayaan yang bakal disambut oleh Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau mengumumkan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2022 semasa melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) Segmen Perayaan Hari Gawai di Song, Kapit hari ini.

Sebanyak lapan jenis barangan akan dikawal masing-masing bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Senarai lapan jenis barangan harga terkawal SHMMP Hari Gawai ialah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import, cili kering, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut)dan daging babi (daging dan lemak).

Harga terkawal SHMMP Pesta Kaamatan pula melibatkan kepak ayam, cili kering, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut)dan daging babi (daging dan lemak).

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri terbabit dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa hasil pemantauan dan kutipan Bahagian Harga Barang Negara dan Bahagian Penguat Kuasa.

Selain itu katanya, ia mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Beliau juga berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga ke atas pelaksanaan harga maksimum ini.

"Pihak kementerian ingin terus mengingatkan peniaga bahawatindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. 

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Dalam pada itu, Nanta memberitahu, beliau sering menerima aduan dan keluhan daripada pelbagai pihak khususnya rakyat mengenai isu kenaikan harga barang keperluan sejak akhir-ahkir ini.

Jelasnya, bahang kenaikan harga barang ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut melanda seluruh dunia yang disebabkan faktor seperti peperangan melibatkan negara Russia dan Ukraine, perubahan iklim dan sebagainya.

"Sebab itulah kerajaan menerusi KPDNHEP sedaya upaya membantu pengguna mengurangkan kesan kenaikkan harga barang dengan meneruskan pemberian subsidi terhadap barangan keperluan termasuk minyak petrol.

"Program jualan murah PJM ini juga memberi ruang kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan dan murah," katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya membuat persediaan yang sewajarnya dalam menghadapi isu kenaikkan harga barang ini kerana subsidi yang disalurkan oleh kerajaan pada masa ini adalah bersifat sementara.

Sementara itu, kenyataan media KPDNHEP menyatakan prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran sepanjang bulan Februari 2022 merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 billion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Kata kenyataan itu lagi, pencapaian ini dijangka dapat ditingkatkan lagi dengan pelbagai inisiatif yang diambil kementerian terutama menerusi PJM sepanjang tahun 2022 dengan memberi penekanan kepada segmen musim perayaan utama Keluarga Malaysia. 

Sementara itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan jika ada peniaga menyalahi undang-undang melalui aplikasi WhatsApp 019-2794317/019-8488000, portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

  • oleh
  • Advertisement