Anda di sini

Tubuh agensi pembangunan Tebedu-Opar

Advertisement
 

KUCHING: Agensi Pembangunan Kawasan Pedalaman Kuching-Serian (KSHDA) dicadang ditubuhkan untuk merangsang dan mempercepatkan agenda pembangunan di kawasan Tebedu hingga Opar. 

Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) berkata, kawasan ini sangat dahagakan pembangunan. 

Kerajaan Sarawak katanya, telah menubuhkan beberapa agensi seperti Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA).
 
“Melihat keadaan ini, kawasan Tebedu sehingga kawasan Opar kelihatan dianaktirikan. 

“Justeru, saya mohon dan mencadangkan Kerajaan Sarawak agar sebuah agensi sama ditubuhkan bagi kawasan Tebedu hingga Opar agar rakyat di kawasan ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang dipelopori Premier Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam perbahasannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. 

Selain itu agensi pembangunan, Tebedu katanya juga sangat memerlukan sebuah Pasar Tamu untuk para petani di daerah itu. 

Bagi tujuan itu, beliau merayu kerajaan melalui Majlis Daerah Serian, Jabatan Pertanian atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membina sebuah Pasar Tamu tetap di Bandar Mutiara Tebedu. 

Mengenai Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Dr Simon berkata fasiliti ini sudah ketinggalan zaman dari segala segi jika dibandingkan dengan Kompleks ICQS negara jiran di Entikong. 

Oleh itu beliau memohon dan merayu agar kerajaan Sarawak mendesak kerajaan pusat supaya fasiliti di Kompleks ICQS Tebedu dinaik taraf dan dibina semula secepat mungkin setaraf dengan fasiliti ICQS negara jiran. 

Katanya Jabatan Imigresen telah memaklumkan kerajaan pusat telah meluluskan RM100 juta bulan lepas bagi menambah baik fasiliti ini. 

Untuk menyamai skala projek Kompleks ICQS di Entikong, beliau memohon dan mencadangkan kepada kerajaan Sarawak untuk menambah peruntukan tersebut dengan memberi padanan geran. 

Beliau juga memohon agar projek tersebut dilaksanakan dengan segera untuk mengelak projek dibatal semula oleh pihak-pihak tertentu. 

  • oleh
  • Advertisement