KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di Jalan Gaya di sini kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata kejadian jam 6.30 petang itu berlaku di sebuah bangunan kedai.
“Kejadian berlaku apabila rakan serumah mangsa mendapati mangsa yang berumur 66 tahun itu tidak sedarkan diri di dalam biliknya yang terkunci sebelum menghubungi pihak berkuasa.
“Bertindak dengan kejadian, 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terkunci di dalam bilik.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu terkunci menggunakan peralatan khas dan menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di atas tempat tidur.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.22 malam.