Anda di sini

Lelaki rugi RM12,867 diperdaya sindiket pekerjaan dalam talian

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki di sini mengalami kerugian berjumlah RM12,867 setelah dipercayai diperdaya sindiket tawaran pekerjaan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 29 tahun itu mula diperdaya setelah melayari aplikasi Facebook Dating dan berkenalan dengan seorang wanita sekitar jam 6.36 petang Selasa lalu.

“Mangsa kemudiannya memberikan nombor telefon untuk memudahkan perbualan melalui WhatsApp. 

“Mangsa diperkenalkan oleh ‘scammer’ satu produk misi jualan untuk mendapatkan komisyen,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. 

Alexson menjelaskan, pada Rabu sekitar jam 10.18 malam, mangsa dihubungi oleh ‘scammer’ yang meminta bantuan untuk membuat ‘mission underline’.

“Mangsa yang bersetuju kemudiannya dihubungi seseorang yang menerangkan cara-cara untuk membuat misi iaitu mangsa perlu menekan pautan diberikan dan membuat pembayaran satu item serta akan mendapat keuntungan sebanyak lima peratus. 

“Mangsa telah membuat tiga kali pelaburan dan mendapat keuntungan. 

“’Scammer’ telah berjaya menyakinkan mangsa menyebabkan mangsa membuat pelaburan sebanyak RM4,289 dan menambah lagi RM8,578,” ujarnya. 

Tambah Alexson, pada Khamis sekitar jam 10.18 pagi, mangsa menghubungi pusat khidmat pelanggan pelaburan terbabit, namun tidak dapat dihubungi.
 
Mangsa yang berasa tertipu kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
 
Menurut Alexson. kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan. 
 

  • oleh
  • Advertisement