Anda di sini

Lelaki dipenjara lima bulan kerana ugut bakar rumah ayah, curi gelang emas ibu

Advertisement
 

KUCHING: Padah melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah ayahnya dan mencuri seutas gelang emas milik ibunya, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan tertuduh, Nur Zulhilmi Mohammad, 28, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut untuk dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah iaitu hendak membakar rumah milik bapanya berusia 69 tahun.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa mencuri gelang emas milik ibunya berusia 54 tahun.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-kedua kesalahan tersebut didakwa dilakukannya pada 17 Mac lalu, sekitar jam 6 petang di kediaman mereka di Kampung Sinjan, Petra Jaya, di sini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendesak dan meminta sejumlah wang RM2,000 daripada bapanya (mangsa) untuk menyelesaikan hutangnya. 

Bagaimanapun, mangsa memberitahu tertuduh bahawa dia tidak mempunyai wang.

Tertuduh seterusnya bertindak memaksa ibunya untuk menyerahkan seutas gelang emas kepadanya.

Sekiranya permintaannya tidak dituruti, tertuduh mengugut hendak membakar rumah mereka.

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarga, mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 28 Mac lepas.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu untuk didenda RM5,000 atau lima bulan penjara bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan berkuat kuasa hari ini.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement