Anda di sini

Khianat, ugut letupkan tong gas gara-gara tidak diberi wang

Advertisement
 

SIBU: Kata-kata ugutan 'Mun kitak orang call polis, aku letupkan tong gas ia' telah menyebabkan seorang penganggur dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Masfadilla Onara, 36, mengeluarkan kata-kata ugutan itu kepada ibunya setelah ibunya enggan memberi wang kepadanya.

Tertuduh juga dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan setelah mengaku bersalah melakukan khianat dengan bertindak memecahkan cermin tingkap rumah mereka apabila ditahan pihak polis.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Bahagia Jaya Teku pada 15 Mei 2022, kira-kira jam 9 pagi. 

Untuk pertuduhan mengugut ibunya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan melakukan khianat.

Fakta kes menyatakan pada hari kejadian, tertuduh telah bertindak memecahkan cermin tingkap rumah mereka. Tertuduh juga mengugut ibunya sekiranya melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Tertuduh mengugut hendak meletupkan tong gas yang ada di rumah, menyebabkan ibunya berasa takut serta membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Hasil laporan polis, tertuduh ditahan pada hari sama kira-kira jam 1.25 petang di kediaman mereka, sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap rumah, menyebabkan kerugian RM50.

Siasatan lanjut kemudian mendapati tertuduh bertindak mengugut ibunya setelah ibunya tidak mahu memberi wang kepadanya. Selain memecahkan cermin tingkap, tertuduh juga telah merosakan meja dan kerusi dengan kerugian sebanyak RM100.    

  • oleh
  • Advertisement