LUNDU: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) seorang lelaki yang hilang di Sungai Kampung Kangka, di sini dipercayai dibaham buaya diteruskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata mangsa, Sebarang Bingkok, 56 tahun dilaporkan hilang sejak jam 3 petang semalam.
Menurutnya, pada jam 5 petang mangsa dipercayai telah meninggal dunia selepas keluarganya menemui bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.
"Mangsa dipercayai telah dibaham buaya, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa," katanya menerusi satu kenyataan.

Bahagian kepala yang ditemui ahli keluarga mangsa, telah dihantar ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut.
Katanya, operasi SAR tersebut juga turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation.
"Operasi SAR akan dimulakan pada jam 8 pagi esok (hari ini)," katanya.
Sementara itu Damataries turut menasihatkan penduduk di sekitar kawasan kejadian untuk lebih berhati-hati.
"Terutamanya penduduk yang selalu ke sungai, kita nasihatkan agar selalu berhati-hati semasa menjalankan rutin harian," ujarnya.