Anda di sini

Dua sekawan dipenjara 12 tahun akibat syabu

Advertisement
Budiman (kiri) dan Norfaezah terlepas hukuman gantung sampai mati apabila pertuduhan mengedar dipinda kepada memiliki dadah.
Budiman (kiri) dan Norfaezah terlepas hukuman gantung sampai mati apabila pertuduhan mengedar dipinda kepada memiliki dadah.

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis kerana memiliki 149.10 gram syabu. 

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Dr Alwi Abdul Wahab terhadap buruh lelaki tersebut, Budiman Sabari, 37, dan suri rumah Norfaezah Tela, 39, sebaik mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan.

Dr Alwi juga memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh dikuat kuasakan mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 10 November 2020, selain mengenakan sepuluh sebatan terhadap Budiman.

Sementara itu, tiada sebatan dikenakan terhadap Norfaezah, memandangkan hukuman sebatan tidak dikenakan terhadap pesalah wanita. 

Pertuduhan pindaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 39A(2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Sebelum ini, dua sekawan terbabit berhadapan hukuman gantung sampai mati susulan mereka dituduh mengedar dadah di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 39B(2) akta sama.

Bagaimanapun, peguam lantikan mahkamah, Steven Beti yang mewakili kedua-dua tertuduh, telah mengemukakan representasi (letters of representation) pada 18 November 2021. 

Jabatan Peguam Negara kemudiannya bersetuju meminda pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki dadah.

Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama memiliki 149.10 gram syabu pada 10 November 2020, sekitar jam 11.50 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah Alit, di Kabong.
 
Berdasarkan keterangan kes, pasukan polis yang melakukan serbuan di rumah berkenaan menemui lapan peket plastik lutsinar, masing-masing bersaiz besar, sederhana dan kecil mengandungi kristal yang diletakkan didalam sebuah beg.

Hasil siasatan mendapati Budiman baru menyewa bilik di rumah berkenaan selama dua minggu dan pemilik rumah (penyewa) tidak menyedari penglibatan Budiman dalam aktiviti dadah.

Norfaezah pula merupakan kawan kepada Budiman dan berada di tempat kejadian semasa serbuan dilakukan. 
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan. 
 

  • oleh
  • Advertisement