Anda di sini

Anggota tentera tak mengaku cuba cabul wanita

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang anggota tentera darat berpangkat prebet mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan hendak mencabul wanita tidak dikenali, Isnin lalu. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membenarkan tertuduh berusia 21 tahun itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM5,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Syarifah juga menetapkan pengurusan kes pada 27 Jun depan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul mangsa wanita berusia 35 tahun, dengan cara mencengkam kedua-dua belah tangan mangsa dan menolak mangsa masuk ke dalam bilik mangsa. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 16 Mei lalu, sekitar jam 10.15 pagi di dalam bilik kediaman di pangsapuri perkhidmatan terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Difahamkan, tertuduh berasal dari Dungun, Terengganu itu yang juga menginap di pangsapuri tersebut telah mengekori mangsa sehingga ke biliknya sebelum melakukan perbuatan tersebut.

Mangsa seterusnya dikatakan menjerit meminta tolong sehingga membuatkan tertuduh berlari keluar daripada bilik berkenaan. 

Difahamkan juga, mangsa membuat laporan polis agar memperoleh kebenaran daripada pihak pangsapuri perkhidmatan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti tertuduh untuk siasatan lanjut. 

Mangsa dan tertuduh juga dilaporkan tidak mengenali antara satu sama lain.

Tertuduh kemudiannya dilaporkan ditangkap pada hari sama, sekitar jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah  Daerah Kuching.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala lelaki itu tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement