Anda di sini

Wanita tolak, pukul bapa dengan batang penyapu dipenjara enam bulan

Advertisement
Jurubahasa mahkamah menerangkan kepada tertuduh (tengah) mengenai kes tersebut. 
Jurubahasa mahkamah menerangkan kepada tertuduh (tengah) mengenai kes tersebut. 

KUCHING: Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bapanya yang berusia 86 tahun, dengan cara menolak dan memukulnya menggunakan sebatang penyapu.

Tertuduh Yeo Ngang Sui, 50, membuat pengakuan tersebut sebaik didakwa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap bapa kandungnya pada 12 Mei lalu, sekitar jam 7 malam di kediaman mereka di Taman Poh Kwong, di sini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa menggunakan sebatang kayu penyapu apabila berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Tertuduh juga bertindak menolak dan memukul bahagian kepala mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala dan tangan sebelah kiri. 

Mangsa seterusnya membuat laporan polis susulan dia bimbang dan risau akan keselamatan diri.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar tidak dijatuhi hukuman berat atas alasan dia menyesali perbuatan tersebut dan ia merupakan kesalahan pertamanya. 

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Advertisement