Anda di sini

Ugutan jenayah dan rosakkan harta benda, lelaki dipenjara dan didenda

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana melakukan ugutan jenayah dan merosakkan harta seorang lelaki warga emas.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh sabitan kes hari ini.

Chin Khien Chai, 49, dari Ecorich Park, Jalan Bintulu-Miri di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Chin Voon Hee, 80, dengan membaling sebuah periuk ke arah mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang, 13 Mei lalu di sebuah lot di Jalan Riam di sini.

Sementara dalam kes kedua, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan pintu utama rumah Chin Voon Hee, 80, hingga menyebabkan kerugian bernilai RM500.

Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 1 pagi, 13 Jun 2016 di  sebuah lot di Jalan Riam di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Syahrizan Taha di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement