Anda di sini

RUU pindaan Kanun Tanah, Hutan mesti perkukuh Perlembagaan Negeri: Wong

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

KUCHING: Dato Sri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) berkata, pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2022 dan RUU Hutan (Pindaan) 2022 mesti memperkukuhkan lagi Perlembagaan Negeri.

Beliau berkata, kedua-dua RUU itu mesti berperanan melindungi tanah dan hutan Sarawak.

Ujarnya lagi, RUU berkenaan diharap meletakkan Sarawak di kedudukan lebih kukuh dalam usaha kerajaan negeri meneruskan perjuangan mengembalikan dan melindungi hak serta kepentingan Sarawak seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Jika itulah yang berlaku, kami dengan sukacitanya memberi persetujuan dan memastikan sokongan dwipartisan untuk apa yang baik, baik untuk rakyat Sarawak," katanya ketika membahas RUU Hutan (Pindaan) 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bagaimanapun, Wong mengingatkan kerajaan negeri bahawa isu tanah dan hutan menjadi sukar atau sensitif dalam kalangan komuniti terutama apabila menyentuh tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Perlu diingatkan masih banyak isu tanah NCR tertunggak yang masih belum diselesaikan di mahkamah.

"Dengan mengambil kira perkara ini, ciri budaya dan sejarah hutan dan tanah Sarawak perlu diambil kira apabila mewujudkan ‘hutan baharu’ serta melakukan perubahan kepada hutan dan tanah sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, Wong berharap pindaan melibatkan tanah dan hutan akan mengurangkan, jika tidak dapat menyelesaikan, isu-isu berkenaan yang menjadi perbalahan.

Menurutnya lagi, 20 peratus tanah di Sarawak diklasifikasi sebagai tanah NCR, tetapi hanya sedikit sahaja telah disukat dan dikeluarkan surat hak milik tanah.

"Untuk rekod, tiada pengiktirafan akan diberikan kepada mana-mana NCR ke atas mana-mana tanah di Sarawak yang diwujudkan selepas 1 Januari 1958," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wong berkata, berdasarkan data liputan pokok dan hutan tahunan Malaysia, Sarawak mendahului negara dari segi kehilangan hutan primer dengan 1.6 juta hektar daripada jumlah Tutupan Hutan Utamanya seluas 7.46 juta hektar bagi tempoh 2001 hingga 2020.

"Penyumbang utama kehilangan ini termasuk, antara lain Belaga, Marudi, Bintulu, Tatau, Kapit dan Mukah dengan masing-masing 345,000, 237,000, 148,000, 147,000, 127,000 dan 81,000 hektar dari 2001 hingga 2020.

“Jelas sekali, ini suatu yang penting untuk dilihat segera oleh kerajaan negeri kerana ia 'secara kebetulan' terletak di dalam kawalan kukuh kerajaan," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement