Anda di sini

Perebutan juara EPL sehingga ke perlawanan terakhir

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Southampton dan Liverpool di Stadium St Mary. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Southampton dan Liverpool di Stadium St Mary. — Gambar AFP

SOUTHAMPTON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meletakkan peluang pasukannya untuk memenangi Liga Perdana Inggeris sebagai ‘tidak mungkin tetapi boleh berlaku’ selepas skuad lemahnya membawa saingan kejuaraan liga sehingga hari terakhir liga dengan kemenangan 2-1 ke atas Southampton pada Selasa.

Selepas Liverpool menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti di final Piala FA tiga hari yang lalu, Klopp mengambil risiko dengan melakukan sembilan pertukaran pemain untuk perlawanan di St Mary.

Walaupun menurunkan skuad simpanan dan ketinggalan menerusi gol awal Nathan Redmond, Liverpool bangkit menerusi gol Takumi Minamino dan Joel Matip.

Liverpool kini hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dengan kedua-dua pasukan hanya berbaki satu perlawanan.

Kejuaraan liga akan memihak kepada City jika menewaskan Aston Villa di Stadium Etihad pada Ahad.

Klopp menegaskan pada hujung minggu lepas bahawa dia tidak menjangkakan City akan tewas kepada Villa.

Tetapi Liverpool akan muncul juara buat kali kedua dalam tempoh tiga musim jika menewaskan Wolves dan City gagal meraih kemenangan.

“Sudah tentu ia tidak berlaku kerana City bermain di tempat sendiri menentang Aston Villa, yang bermain satu perlawanan sebelum itu pada Khamis. Ia satu kemungkinan tetapi tidak pasti,” kata Klopp.

“Sudah tentu ia boleh berlaku. Bola sepak kadang-kadang pelik. Satu-satu peluang yang kami ada malam ini ialah untuk menang dan kami melakukannya. Kami tidak pernah mengalah.”

Liverpool dijangka menamatkan tugas mereka pada perlawanan menentang Wolves, terutama sekali dengan pemain utama akan kembali ke dalam kesebelasan utama.

Pengurus City, Pep Guardiola ada berkata dia merancang untuk menonton perlawanan Liverpool-Southampton dan jika ia berlaku, ia pastinya lebih mengecewakan kerana Southampton mensia-siakan pendahuluan gol.

Tetapi kegagalan Riyad Mahrez menyempurnakan penalti pada minit akhir ketika City seri 2-2 di West Ham United pada Ahad telah memberikan Liverpool harapan sekali lagi.

Dan Liverpool, yang berharap menjadi kelab Inggeris pertama yang memenangi kesemua empat pertandingan dalam satu musim, akan mengintai sejarah pada dua perlawanan terakhir yang sangat penting dalam sejarah kelab.

Liverpool bangkit dari satu serangan pantas selepas Southampton membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi gol Redmond.

Minamo mengambil sepenuh peluang penampilan kesebelasan utama dalam liga dengan mengikat  kedudukan pada minit ke-27.

Dan asakan demi asakan Liverpool akhirnya mendapat ganjaran apabila Matip menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-67 dari satu tendangan sudut. — AFP
 

Advertisement