Anda di sini

Majikan diseru bertindak segera sebelum Ops Kesan PERKESO bermula 8 Jun

Advertisement
Jimmy (tengah) bersama timbalannya Neili Stephen Manggang (kiri) dan pengurus kes Ann Faustina Rijed menunjukkan contoh notis yang akan dikeluarkan kepada majikan.
Jimmy (tengah) bersama timbalannya Neili Stephen Manggang (kiri) dan pengurus kes Ann Faustina Rijed menunjukkan contoh notis yang akan dikeluarkan kepada majikan.

BINTULU: Para majikan di bahagian ini digesa mendaftarkan perusahaan mereka dan membuat caruman yang sewajarnya kepada Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Bintulu bagi mengelak dikenakan kompaun sebelum Ops Kesan dikuatkuasakan pada 8 Jun hingga 30 Jun depan.

Pengurus cawangannya Jimmy Hendrick Kijon berkata, beliau berharap majikan akan mengambil peluang sepanjang tempoh dua minggu akan datang untuk secara sukarela tampil ke hadapan mendaftar serta lebih bertanggungjawab terhadap pekerja mereka.

Katanya, operasi ini akan dikuatkuasakan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4); Seksyen 14 dan 16 daripada Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800); dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

"Semua majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja mesti mendaftar dan menyumbang dengan PERKESO untuk memastikan perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja mereka," kata di sini, hari ini.

Jimmy berkata, sejak 1 Mei lalu PERKESO telah menjalankan Ops Pemutihan bagi meningkatkan kesedaran syarikat untuk mendaftar dan notis juga telah 
dikeluarkan kepada syarikat berdaftar.

Beliau berkata, syarikat yang mendaftar secara sukarela semasa tempoh pengampunan Ops Pemutihan akan dikecualikan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan walaupun mereka telah melepasi tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kegagalan mendaftar dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan di mahkamah.

Tambahnya, pada 2020 sebanyak 30 kompaun bagi pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dengan 16 kertas pendakwaan pada 2020 diikuti lapan lagi kertas pendakwaan pada tahun 2021, mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kita mengenal pasti eberapa kawasan komersial utama di sini untuk operasi bulan depan.

“Untuk rekod sehingga Mei tahun ini bagi Bintulu terdapat 3,966 majikan aktif daripada 10,414 berdaftar berbanding 4,178 aktif daripada 10,236 didaftarkan pada 2021," katanya.

Manakala pekerja aktif katanya, ia merangkumi 70,287 orang setakat Mei tahun ini berbanding 90,436 orang pada tahun sebelumnya, dengan Bintulu mencatatkan 
pekerja asing berdaftar kedua tertinggi iaitu 30,268 orang selepas Miri (35,002 orang) setakat Oktober 2021.

Untuk pendaftaran baharu katanya, majikan boleh melakukannya secara dalam talian dengan memuat turun borang di portal PERKESO di www.perkeso.gov.my, tetapi dikehendaki pergi ke pejabat PERKESO terlebih dahulu untuk tujuan pengesahan dan mendapatkan ID mereka sebelum mereka boleh mengakses portal dan melengkapkan pendaftaran tersebut.
 

  • oleh
  • Advertisement