Anda di sini

Keldai akaun terima RM4,500 secara tidak sah didenda RM500

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki didenda RM500 atau seminggu penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memiliki wang secara tidak sah.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Lim Teng Seong, 47, dari Pulau Pinang mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1958 (Sarawak).
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah memiliki wang berjumlah RM4,500 yang diperolehi secara tidak sah.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.51 petang di mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Boulevard Commercial Centre di sini.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh yang bekerja sebagai tukang servis penghawa dingin merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Katanya, dia telah meminjamkan akaunnya kepada seorang kawan namun tidak mengetahui tujuannya dan hanya mengetahui tentang kesalahan ini setelah dihubungi pihak polis.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Syahrizan Taha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement