Anda di sini

JKR buka jalan lencongan sementara Kiulu-Ranau

Advertisement
 Jonsiton semasa mendengar taklimat daripada Ali Ahmad (kiri).
LAWAT: Jonsiton semasa mendengar taklimat daripada Ali Ahmad (kiri).

TUARAN: Kerja-kerja pembinaan laluan lencongan sudah dibuat di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu - Ranau yang ditutup akibat kejadian jalan runtuh.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata lencongan sementara itu dibuat agar boleh dilalui untuk semua jenis kenderaan.

“Kerja pembinaan lencongan dijangka mengambil masa beberapa hari untuk siap. 

“Kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dirancang,” katanya selepas melawat dan  meninjau kerosakan jalan di sini.

Semasa lawatan itu juga beliau turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Datuk Ali Ahmad Hamid mengenai kerja pembaikan yang turut disertai jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Tuaran Farini Awang.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata pihaknya juga merakamkan penghargaan dengan tindakan pantas pihak JKR menutup jalan dalam kadar segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu kejadian tanah runtuh ini menyebabkan sebahagian laluan jalan  pertengahan kawasan bukit di Kampung Lokos dan Kampung Pahu runtuh.

Ali Ahmad memaklumkan pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Tamparuli-Ranau dan Jalan Pahu-Sinulihan sebagai laluan alternatif sehingga lencongan sementara selesai dibina.

  • oleh
  • Advertisement