Anda di sini

Jeti terapung Tamu Limbang perlu dinaik taraf segera

Advertisement
Keadaan jeti terapung yang tenggelam dan tidak dapat menampung berat orang ramai yang balik kampung ke Lawas pada sambutan Aidilfitri lalu. - Gambar Facebook Beb Julkipli
Keadaan jeti terapung yang tenggelam dan tidak dapat menampung berat orang ramai yang balik kampung ke Lawas pada sambutan Aidilfitri lalu. - Gambar Facebook Beb Julkipli

LIMBANG: Kerosakan dan keadaan jeti terapung di hadapan bangunan Tamu Limbang yang semakin usang mampu mengundang kecelakaan sekiranya langkah membaikinya tidak diambil dengan segera.

Kerisauan itu semakin memuncak ekoran ramai penduduk yang balik kampung sempena musim perayaan Aidilfitri lalu dan sambutan Gawai tidak lama lagi khususnya mereka yang menggunakan perkhidmatan bot tambang.

“Membahayakan kerana keadaan jeti yang usang, malah jeti ini akan tenggelam kerana tidak dapat menampung berat.

“Saya perhatikan setiap kali melalui perkhidmatan bot penambang ke Lawas, kerosakan jeti terapung ini sudah lama namun belum diperbaiki.

"Jangan tunggu insiden buruk berlaku baru bertindak,” kata pengguna bot tambang Mohd Husin, 52, kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, struktur pada bahagian atas jeti terapung terbabit dan pada bahagian laluan yang menyambungkan pelantar ke sungai sudah agak usang.

"Ketika air pasang laluan pelantar terapung dilihat bergoncang, dan akan tenggelam jika dinaiki ramai orang.

“Kami tiada pilihan, inilah satu-satunya jeti yang merupakan laluan untuk mereka yang menggunakan bot penambang.

“Namun keselamatannya diragui dan mampu mengancam nyawa penumpang sekiranya tidak ditangani dengan segera," katanya lagi.

Katanya, keadaan itu boleh memberi imej tidak baik terutama apabila menerima pengunjung luar yang ingin menggunakan perkhidmatan bot penambang memandangkan keadaan jeti yang bermasalah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Hasbi Habibollah ketika ditanya mengenai masalah itu mahu Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menaik taraf jeti terbabit segera. 

“Perkara ini sudah disuarakan kepada LSS untuk menaik taraf jeti terapung di hadapan Tamu Limbang dan dermaga Kastam Limbang yang disifatkan hidup segan mati tak mahu, kalau lebihan muatan akan tenggelam,” katanya kepada media baru-baru ini.

Tegas Ahli Parlimen Limbang itu, agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan perlu menaik taraf kemudahan itu.

"Silalah naik taraf jeti terapung yang menjadi tempat rakyat turun naik di depan Tamu  Limbang.

"Betul saya setuju, pernah disuarakan kepada agensi dipertanggungjawabkan untuk perbaiki kerosakan jeti terapung tersebut,” katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement