Anda di sini

Finas bantu penggiat industri kreatif tingkat kualiti filem negara menerusi MyLAB

Advertisement
 

CANNES (Perancis): Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam usaha untuk meningkatkan kualiti filem negara, agar setanding filem antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata untuk itu, Finas melaksanakan satu projek iaitu Makmal Pembangunan Filem Cereka Fiksyen Malaysia (MyLAB), yang menggabungkan penulis skrip, penerbit dan pengarah tempatan, dalam program inkubator.

“Melalui program ini tenaga pengajar dari pelbagai negara yang mahir dan terkenal dalam bidang masing-masing, akan membantu penggiat industri tempatan meningkatkan kualiti skrip, dan seterusnya dapat 'pitching' untuk mendapatkan dana.

“Sepertimana dalam perancangan kita akan buat 'pitching' di Festival Filem Busan nanti. Ini merupakan satu daripada langkah untuk kita memastikan kualiti filem kita dapat ditingkatkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Bagi membolehkan filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa, beliau berkata penggiat industri perlu berani untuk meneroka kerjasama dan peluang, yang dapat membantu mereka menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti seterusnya memperluaskan pasaran.

Md Nasir berpendapat, industri filem tanah air yang agak terhad menyebabkan penerbit di Malaysia tidak dapat menjana pendapatan sewajarnya.

Justeru beliau berkata Finas akan membantu para penggiat yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa, dengan mengadakan perjumpaan dan perbincangan meja bulat selain memberi insentif tertentu, misalnya dana pemasaran.

Selain itu, menurutnya penyertaan Malaysia dalam pameran filem antarabangsa terbesar dunia Marche Du Film, juga merupakan satu peluang untuk mereka menonjolkan kekuatan serta keupayaan yang ada, dalam memperluaskan pasaran filem tempatan.

“Jadi melalui penyertaan kita dalam Marche Du Film ini, kita juga membuat pertemuan dengan penerbit-penerbit dan pihak berkuasa dari Kanada, Perancis dan beberapa negara lain, untuk kita menjalin kerjasama supaya kita mendapat manfaat daripada kerjasama tersebut,” katanya.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.

Sebanyak 13 syarikat tempatan yang menampilkan pelbagai produk kandungan kreatif seperti filem cereka, animasi, dokumentari dan lain-lain, menghadiri pameran filem itu dengan 10 syarikat hadir secara fizikal manakala tiga syarikat secara dalam talian. - BERNAMA 

Advertisement