Anda di sini

Dua individu salah guna dadah didenda

Advertisement
 

MIRI: Padah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah, seorang ibu tunggal didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.
    
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua bulan.
    
Molly Arang Along, 42, dari Tudan Fasa 6 di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.40 malam, 22 September 2019 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia merupakan ibu tunggal kepada empat anak serta tidak mempunyai pekerjaan.
    
Sementara dalam satu kes berasingan, seorang lelaki didenda RM2,500 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kesalahan serupa.
    
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
    
Masli Soon, 44, dari Kampung Pulau Melayu di sini didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 5.25 petang, 25 Februari 2017 di Balai Polis Pusat Miri.
    
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan Inspektor Syahrizan Taha di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

  • oleh
  • Advertisement