Anda di sini

BN Sabah positif pembentukan Jawatankuasa Kerjasama Solidariti GRS-BN

Advertisement
 Bung (dua kanan) bersama Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup (kanan) dan Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung (dua kiri) pada majlis itu.
AIDILFITRI: Bung (dua kanan) bersama Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup (kanan) dan Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung (dua kiri) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah secara prinsipnya mengalu-alukan pembentukan Jawatankuasa Kerjasama Solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN sebagaimana yang diumumkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, walaupun pihaknya masih belum mendapat sebarang makluman secara rasmi mengenai perkara itu, namun secara prinsipnya BN Sabah positif untuk menerima pembentukan jawatankuasa berkenaan.

Katanya, kepentingan dan pembangunan negeri Sabah lebih penting kerana Sabah sudah lama ketinggalan dari seri pembangunan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

"Saya rasa sudah tiba  masanya untuk kita perkukuhkan kerajaan untuk memastikan rakyat Sabah juga berhak hidup dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Jamuan Aidilfitri BN Sabah yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai tetamu kehormat di sini hari ini.

Bung berkata, BN Sabah juga sentiasa positif untuk menerima sebarang pembentukan kerjasama membabitkan GRS-BN.

Pada 9 Mei lepas, Hajiji mengumumkan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Kerjasama Solidariti GRS-BN yang bertujuan menyatukan parti-parti dalam GRS dan juga BN.

Langkah itu juga sebagai persediaan menghadapi pilihan raya Parlimen secara bersama-sama bagi mengelakkan pertembungan di antara GRS dan BN.

Selain itu Bung menjelaskan, apabila tiba masanya, BN Sabah akan memutuskan berhubung Kerusi yang akan ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

"Nanti kita akan bincangkan sebab memang adat berparti hampir semua mahu tanding...cuma kita akan tengok keadaan dan bila sampai masanya kita akan putuskan," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement