Anda di sini

Sukan SEA: Kuartet lelaki raih perak, pecah rekod kebangsaan

Advertisement
 

HANOI: Skuad renang kebangsaan menutup saingan di kolam hari ini dengan pencapaian masing-masing satu perak dan gangsa selain memecah satu rekod kebangsaan pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh di sini, semalam.

Gandingan perenang Welson Sim, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh Chahal dan Khiew Hoe Yean membutirkan pingat perak menerusi acara 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan masa tujuh minit dan 19.75 saat (s) sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan.

Catatan itu memadam rekod lama iaitu 7:26.74s yang dilakukan kuartet dibarisi Kevin Yeap, Vernon Lee, Welson dan Lim Ching Hwang pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland

Pingat emas dengan catatan 7:16.31s dimenangi kuartet tuan rumah yang menurunkan Nguyen Huu Kim Son, Nguyen Huy Hoang, Hoang Quy Phuoc dan Nguyen Tran Hung.

Kehadiran pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Joseph Schooling tidak banyak membantu pasukan Singapura yang turut dibarisi Jonathan Tan, Glen Lim dan Quah Zheng Wen apabila sekadar membawa pulang gangsa dengan catatan masa 7:21.49s.

Sementara itu, pingat gangsa negara disumbangkan Job Tan dalam acara 200m kuak dada lelaki selepas merakam 2:17.68s di belakang perenang Vietnam Thanh Bao Pham yang melakukan 2:12.09s.

Emas dirangkul wakil Singapura Maximillian Wei Ang dengan catatan 2:11.93s yang juga merupakan rekod baharu temasya.

Terdahulu, Arvin Shaun yang turun beraksi dalam acara 50m kuak lentang lelaki menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas mencatat 27.23s dengan Zheng Wen meraih emas (25.83s) sementara Nguyen Paul Le dari Vietnam perak dengan masa 25.86s.

Pencapaian meraih pingat perak 4x200m gaya bebas itu menyaksikan Hoe Yean kini mengumpul tiga perak di temasya dwitahunan edisi ke-31 itu selepas turut menaiki podium dalam acara 400m gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki, semalam.

Sukan renang Sukan SEA ke-31 akan menutup tirai saingan Khamis ini dengan skuad kebangsaan kini telah mengutip tiga perak dan satu gangsa. - BERNAMA 

Advertisement