Anda di sini

Keldai akaun didenda RM500

Advertisement
 

SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara tujuh hari terhadap seorang pemuda yang menjadi keldai akaun sindiket penipuan dalam Facebook.

Julien Anggat, 25, terdahulu didakwa memiliki wang sebanyak RM23,663.28 yang diperolehi secara salah pada 16 September 2021, kira-kira jam 2 petang di Jalan Getah.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 37(1) Akta Kesalahan Kecil Sarawak 1958, yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tiga bulan dan denda sehingga RM500.

Mengikut fakta kes ringkas, pada 13 September 2021 kira-kira jam 2.39 petang, ketika berada di kediamannya di Jalan Getah pengadu telah berkenalan dengan seorang wanita menerusi Facebook yang menawarkan perniagaan dalam talian dengan komisen lima peratus daripada modal.

Pada 15 September 2021 kira-kira jam 9 malam, pengadu menerima mesej melalui WhatsApp daripada seorang wanita dikenali sebagai Heleina yang dihubunginya melalui Facebook beberapa hari lepas.

Heleina kemudian bertanya sama ada pengadu masih berminat dengan tawaran perniagaan terbabit dan jika berminat pengadu diminta menghubungi khidmat pelanggan syarikat.

Pada 16 September 2021, kira-kira jam 2 petang, pengadu menghubungi khidmat pelanggan seperti yang diberitahu sebelum membuat lima transaksi ke sebuah akaun bank atas nama tertuduh.

Setelah transaksi itu selesai, pengadu tidak menerima sebarang pulangan atau komisen seperti yang dijanjikan.

Apabila pengadu bertanya mengenai wangnya itu, mangsa diminta untuk memasukkan lebih banyak wang untuk mendapatkannya kembali.  

Advertisement