Anda di sini

Datuk Ahmad Ibrahim dipilih sebagai Ahli Dewan Negara

Advertisement

KUCHING: Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Datuk Ahmad Ibrahim, 53, dipilih sebagai Ahli Dewan Negara selepas pencalonannya mendapat persetujuan majoriti ahli Dewan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) hari ini.

Pencalonan Ahmad dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah.

AHMAD
AHMAD

Ahmad dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menggantikan Datuk Dr Zaiedi Suhaili yang memegang jawatan berkenaan dari 19 Julai 2019 dan berakhir 18 Julai 2022.

Abdul Karim ketika mengemukakan pencalonan itu berkata, beliau mencadangkan Ahmad Ibrahim sebagai Senator mewakili Sarawak.

“Saya percaya beliau dapat menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Negara dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melantik beliau sebagai senator mewakili Ahli Dewan Negara akan datang.

“Saya tidak menyangka kerana perkara ini diketahui saya dalam masa dua hari. Saya amat terkejut, kebetulan juga Datuk Dr Zaiedi Suhaili akan bersara sebulan lebih lagi, cukup tempohnya.

“Saya berjanji saya akan membuat yang terbaik menjalankan tugas sebagai Yang Berhormat senator di dewan negara nanti,” katanya.

Ahmad akan berkhidmat memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negara selama tiga tahun bermula 19 Julai 2022.

Ahmad dilahirkan di Hospital St Joseph, Kanowit pada 14 Ogos 1969 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) St Joseph, Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian sebelum melanjutkan pelajaran ke Ashbury College, Ottawa, Kanada.

Beliau adalah graduan dari University of San Francisco, California, Amerika Syarikat dalam bidang Sarjana Muda Sains khusus dalam Perniagaan Antarabangsa Kewangan pada tahun 1995.

Ahmad pernah berkhidmat dan berpengalaman luas dalam bidang Dagangan Saham di Sarawak Securities Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Kenanga Investment Bank) sebelum menceburi diri di dalam Perbankan Komersial selama 16 tahun di Bank Utama Bhd/RHB Bank Bhd.

Pangkat dan jawatan terakhir dipegang beliau adalah Executive Vice President/ Head, Strategic Planning Division dan Head, East Malaysia & Brunei Division.

Sekarang, beliau juga cukup mahir dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan politik, selain terlibat secara aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan terrmasuk sebagai Exco SABERKAS Negeri Sarawak selama dua penggal.

Beliau juga aktif sebagai Ketua Cawangan Saberkas Batu Kawa dan Timbalan Ketua Cawangan Saberkas Batu Kitang, Exco PBB Negeri Sarawak, Ketua Cawangan PBB Batu Bawa dan banyak lagi.

Advertisement