Anda di sini

Anak jati Pengkalan Lutong ukir nama di Sukan SEA 2022

Advertisement
Kepulangan Azri di Lapangan Terbang Miri disambut oleh isterinya serta bapanya serta rakan-rakan dari Kampung Pengkalan Lutong Miri.
Kepulangan Azri di Lapangan Terbang Miri disambut oleh isterinya serta bapanya serta rakan-rakan dari Kampung Pengkalan Lutong Miri.

MIRI: Kepulangan atlet bina badan kelahiran Miri, Azri Azmat Sefri, 29 yang menyumbang pingat perak untuk Malaysia pada Sukan SEA Ke-31 di Vietnam disambut penuh meriah di Lapangan Terbang Miri, pada Selasa.

Azri yang membuat penampilan pertama pada pentas sukan dwi tahunan terbesar Asia Tenggara itu tidak menyangka dapat menghadiahkan pingat perak dalam kategori 55 kilogram.

Ketibaan Azri disambut Timbalan Datuk Bandar Miri, Julaihi Mohamad, Mantan Presiden Persatuan Angkat Berat Miri, Abdul Aziz Sepin, ahli keluarga dan rakan-rakan dari Kampung Pengkalan Lutong.

Adik Azri, Aszdilah Asmat Sefri, 22, ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini berkata abangnya tiba di Miri jam 7.50 malam membawa bersama pingat perak dari Vietnam.

"Kami sekeluarga berasa bangga kerana impiannya untuk mengharumkan nama negara tercapai dengan penyertaan kali pertamanya di Sukan SEA," jelasnya.

Ditanya perasaan abangnya ketika tiba di Miri, Aszdillah berkata abangnya tidak menyangka meraih pingat perak kerana dia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dalam kejohanan besar itu.

"Abang saya tidak menyangka dapat memasuki peringkat akhir kerana sebelum ini dia tidak meletakkan sebarang sasaran disebabkan penyertaaannya kali pertama di temasya ini.

Dengan pengalamannya dalam sukan bina badan sejak 2013 dan pernah menjuarai Mr Malaysia 2016 kategori Light Fly bawah 60 kilogram, dia berjaya menghadiah pingat perak untuk Malaysia," jelasnya.

Mengulas lanjut, Aszdillah berkata perjalanan abangnya ke Sukan SEA 2022 tidak semudah yang disangka lebih-lebih lagi tanpa sebarang tajaan dan sokongan kewangan.

"Kami sekeluarga banyak memberi sokongan kepada beliau untuk terus bertanding dalam kejohanan besar meskipun mengeluarkan perbelanjaan sendiri," katanya.

Malahan katanya sebelum ke Sukan SEA, abangnya terpaksa berulang alik ke Vietnam untuk menjalani ujian doping dan latihan dengan perbelanjaan ditanggung ahli keluarga.

"Sebagai atlet baharu kategori B, sukar bagi beliau mendapatkan sebarang tajaan meskipun pernah memohon, namun kami sekeluarga tetap membantu menunaikan impiannya ke Vietnam meskipun mengeluarkan wang sendiri," katanya.

Aszdillah berkata kesemua adik beradik termasuk abangnya meminati sukan bina badan malahan kesemua mereka menceburi bidang itu dengan sokongan keluarga.

"Berkat doa dan sokongan ibu bapa, abang saya berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa dan kami akan mengikuti jejak langkahnya ke pertandingan berprestij," ujarnya.

Usaha Utusan Borneo untuk menghubungi Azri bagaimanapun tidak berjaya kerana beliau sedang berehat dan meluangkan masa bersama ahli keluarga.

  • oleh
  • Advertisement