Anda di sini

ADUN Apas sumbang RM40,000 kepada tiga pusat agama

Advertisement
 Nizam (tengah), Hajiji (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pengerusi masjid.
SUMBANGAN: Nizam (tengah), Hajiji (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pengerusi masjid.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada dua buah masjid dan Maahad Tahfiz di sini.

Masjid Al-Muhajirin Kampung Inderasabah menerima sumbangan sebanyak RM20,000, manakala Masjid Sri Ranggu dan Maahad Tahfiz Ibnu Abbas Kampung Blok 31 masing-masing RM10,000.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata sumbangan itu adalah peruntukan ADUN Apas untuk membantu operasi ketiga-tiga pusat tersebut.

Katanya, sebagai pemimpin di daerah ini bertanggungjawab untuk membantu serba sedikit pengurusan operasi pusat agama yang memerlukan terutamanya di kawasan Apas.

“Kita berharap dengan adanya sumbangan kewangan itu dapat melancarkan lagi operasi ketiga-tiga pusat agama itu.

“Kerajaan negeri yang ada pada hari ini sangat prihatin dengan keperluan pusat-pusat keagamaan supaya rakyatnya dapat beribadah dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di kediamannya, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Isteri Datin Seri Panglima Juliah Salag serta wakil rakyat di daerah Tawau.

 Nizam (kiri), Hajiji (tengah) semasa menyampaikan insentif kepada pesilat negara.
BANGGA: Nizam (kiri), Hajiji (tengah) semasa menyampaikan insentif kepada pesilat negara.

Sementara itu, Nizam turut menyampaikan insentif sebanyak RM2,000 kepada seorang pesilat negara Sazzlan Yuga yang telah memenangi pingat emas dalam kejohanan Sukan Sea di Hanoi baru-baru ini.

“Beliau adalah anak jati Tawau yang berasal dari Kampung Batu 4 Jalan Apas dan merupakan pengundi di kawasan DUN Apas.

“Insentif itu sebagai penghargaan kepada pesilat negara berkenaan supaya terus bersemangat dan bekerja keras mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata kehadiran majlis ini dianggarkan seramai 3,000 orang dan telah dihadiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama di daerah ini.

Katanya, kunjungan orang ramai ini menunjukkan bahawa kesatuan dan perpaduan warga Tawau cukup mantap sejak dari dahulu hinggi kini.

“Kesatuan ini perlu dipertahankan supaya negara kita sentiasa aman dan makmur walaupun berbilang kaum serta agama,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement