Anda di sini

YADIM Sabah agih sumbangan sempena MTQ Negeri

Advertisement
 Muhammad Akmal (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengurus Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau, Ahmad Siong.
SUMBANGAN: Muhammad Akmal (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengurus Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau, Ahmad Siong.

TAWAU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan bagi membantu operasi beberapa institusi di daerah ini.

Pengarahnya, Muhammad Akmal Othman berkata sumbangan itu adalah bersempena Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat negeri Sabah yang diadakan di Tawau.

Katanya, sempena majlis itu berlangsung, YADIM Sabah mengambil kesempatan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa institusi yang terpilih.

“Sumbangan itu kita berikan kepada Hospital Besar Tawau, Rumah Anak Yatim AR-Raudhoh dan empat buah pusat Tahfiz di daerah ini.

“YADIM Sabah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, pakaian, bakul makanan dan barangan elektrik bagi membantu operasi institusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh Tawau, di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, YADIM adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang boleh menerima dana awam.

“Justeru, selain peruntukan sedia ada, sumbangan yang disampaikan itu juga adalah hasil dana awam yang diterima.

“Dana awam yang diterima, kita sumbangkan semula kepada mereka yang memerlukan supaya semua golongan sasar menerima manfaatnya,” katanya.

Menurutnya, YADIM Sabah terus memainkan peranannya khususnya membantu rakyat di negeri ini terutamanya kepada golongan yang memerlukan.

“Selain kita mencari golongan sasar, YADIM Sabah juga turut menerima permohonan daripada institusi memerlukan.

“Bagaimanapun, bantuan yang diberikan mengikut peruntukan sedia ada dan kemampuan YADIM Sabah,” katanya.

Muhammad Akmal mengharapkan dengan sumbangan yang diberikan itu dapat membantu serba sedikit dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh institusi berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement