Anda di sini

Kontraktor sambilan ditahan bantu siasatan kes dera kanak-kanak berusia tiga tahun

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kontraktor sambilan kerana disyaki terlibat mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, di bawah jagaannya di Jalan Besar Taman Dagang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga tempatan berusia 40-an itu, merupakan penjaga sementara kepada kanak-kanak berkenaan, kerana ibu bapa kandung mangsa kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan dijaga suspek sejak awal Januari tahun ini.

“Kes ini dikesan, selepas seorang warga tempatan mengesan kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada badannya.

“Pengadu mendengar tangisan kuat daripada kanak-kanak itu berdekatan dengan rumahnya dan melihat kecederaan pada muka dan badan mangsa, lalu terus membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohamad Farouk berkata suspek merupakan kawan kepada bapa kanak-kanak berkenaan, yang diminta menjaga mangsa buat sementara waktu.

Menurutnya, lelaki terbabit yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau dadah dan satu rekod lampau jenayah komersial, akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan.

Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut. - BERNAMA 

Advertisement