Anda di sini

Istilah 'kad warga asing' boleh disalah tafsir: Jeffrey

Advertisement
JEFFREY
JEFFREY
 

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mungkin tidak dapat menerima cadangan untuk menggunakan istilah 'kad warga asing' bagi menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengeluarkan dokumen dan menyebutnya sebagai 'kad warga asing' boleh disalah tafsir.

Katanya, bahasa yang lebih tepat perlu digunakan untuk menamakan dokumen berkenaan.

"Istilah 'kad pemastautin bukan warganegara' akan lebih diterima kerana ia dapat membezakan pemegang kad ini dengan hak warganegara sebenar secara serta-merta," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) kini sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan kad pengenalan (IC) Sabah iaitu mungkin secara pentadbiran.

Menurutnya, rakyat Sabah sudah lama menyokong pengeluaran IC Sabah kerana percaya ia akan membantu dalam memastikan hak rakyat Sabah dilindungi.

"Kad ini juga akan membantu dalam mengenal pasti rakyat Sabah yang asli dengan bukan warganegara. Ia juga mudah untuk dilengkapkan kerana hanya bersifat pentadbiran," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, semua pemimpin di Sabah sama ada kerajaan mahu pun pembangkang sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa dalam mencari penyelesaian untuk menangani masalah pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Menurutnya, para pemimpin di Sabah tentunya mahu agar penyelesaian dapat dilaksanakan dan boleh diterima untuk mengatasi masalah terbabit.

"Saya turut bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan agar pemimpin di negeri ini perlu ada kehendak politik untuk menyelesaikan masalah di Sabah khususnya isu PTI," jelasnya. 

Beliau meyakinkan kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu mengikut kemampuan mereka sendiri.

Sehubungan itu, Jeffrey juga berharap agar kerajaan Persekutuan mempunyai kehendak politik untuk menyokong aspirasi Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement