Anda di sini

Dua beradik lemas di Sungai Rayu

Advertisement
Anggota bomba berusaha mencari kedua-dua mangsa sebelum mereka dijumpai lewat petang tadi.
Anggota bomba berusaha mencari kedua-dua mangsa sebelum mereka dijumpai lewat petang tadi.

KUCHING: Kegembiraan sebuah keluarga berkelah berakhir tragedi apabila dua daripada mereka disahkan meninggal dunia akibat lemas di Sungai Rayu, Matang, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.01 petang.

Pusat Operasi Bomba kemudiannya mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian.

Komander operasi, Muhammad Syamil Mustafa Kamal mengetuai pasukan dari BBP Petra Jaya dengan kekuatan sembilan anggota yang diketuai Asmadi Mohd Nawi, selain dibantu enam anggota dari Balai Bomba Batu Lintang diketuai Isnizam Chil.

Mangsa yang merupakan adik-beradik, merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun, Lee Jun Suhia dan remaja perempuan berusia 17 tahun, Lee Huai Fen.

“Pasukan unit PPDA membuat selaman di sungai berkenaan namun setakat 5.40 petang mangsa tidak ditemui.

Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, mangsa pertama iaitu Lee Jun Suhia ditemui jam 5.48 petang dan telah diserahkan kepada polis dari Balai Polis Lundu, manakala mangsa kedua berjaya dijumpai sekitar jam 6.43 petang,” ujar kenyataan tersebut.

Terdahulu, seramai 14 orang melakukan aktiviti riadah di sungai berkenaan sebelum insiden tersebut berlaku.

Kejadian pertama membabitkan seorang remaja berusia 17 tahun hilang, manakala abang lelakinya berusia 37 tahun cuba mencarinya.

Lelaki tersebut bagaimanapun lemas dan mayatnya ditemui sekitar 5.48 petang, sementara mangsa perempuan berjaya dijumpai pada jam 6.43 hasil selaman ketujuh.
 

  • oleh
  • Advertisement