Anda di sini

Tiga beradik kongsi kerjaya sebagai guru

Advertisement
Mohd Muzammil (kiri) ketika ditemubual wartawan Bernama sempena Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei setiap tahun. Tidak pernah merancang, Mohd Muzammil dan abangnya, Saiful Adli (kanan) serta kakak sulung mereka Noor Hashima sama sekali tidak menjangkakan akan berkongsi kerjaya yang sama sebagai guru.- Gambar BERNAMA

PEKAN: Tidak pernah merancang, semuanya hanya kebetulan. Itu kata-kata seorang daripada anak kepada peniaga Ab Rahim Kudin, 68, dan suri rumah Manisah Pandi, 63, yang kini ketiga-tiganya bergelar warga pendidik.  

Anak bongsu pasangan itu, Mohd Muzammil, 29, berkata beliau dan abangnya Saiful Adli, 38, serta kakak sulung mereka Noor Hasmihan, 43, sama sekali tidak menjangkakan akan berkongsi kerjaya yang sama.

Beliau yang mula menjadi tenaga pengajar pada 2017 dan kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Seri Terentang, di sini, berkata selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, beberapa permohonan untuk menyambung pelajaran telah dibuat, namun Institut Pendidikan Guru (IPG) terlebih dahulu menawarkan tempat.

“Laluan di IPG nampaknya lebih mudah buat saya, dan alhamdulillah tahun ini sudah lima tahun bergelar seorang guru. Dahulu hanya melihat kakak dan abang bergelar cikgu, kini giliran saya pula," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun.

Berkongsi kelebihan mempunyai adik-beradik yang berkerjaya sama, Mohd Muzammil yang merupakan guru Bahasa Melayu dan seorang daripada johan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan 2021 berkata mereka kerap bertukar-tukar pandangan terutama berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Semuanya cikgu termasuk abang ipar saya, jika berkumpul adik-beradik isu yang kerap timbul selain PdP adalah berkaitan murid dan sekolah, sentiasa ada benda yang kami nak bincangkan.

"Malah, saya juga kerap bertanyakan pandangan kakak dan abang yang terlebih dahulu ‘makan garam’ dalam bidang ini," katanya yang aktif membimbing muridnya dalam pantun sehingga bergelar juara peringkat kebangsaan tahun lepas.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 itu turut berkata kakaknya yang memulakan kerjaya sebagai warga pendidik pada 2004, kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Sungai Danga, Johor Bahru, Johor.

Lebih membanggakan, Mohd Muzammil dan Saiful Adli masing-masing kini di peringkat akhir pengajian  Ijazah Sarjana Pengajian Melayu dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengukuran dan Penilaian Pendidikan di Universiti Malaya.

Saiful Adli, guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah, di sini pula berkata minat yang mendalam terhadap bidang pendidikan mendorong beliau menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

"Selain itu, isteri saya yang merupakan seorang doktor gigi juga antara motivasi untuk sambung belajar. Saya percaya dengan penyelidikan juga kita mampu mendapat ilmu baharu dan berkongsi semula dengan masyarakat," katanya yang berharap ibu bapanya bangga dengan kejayaan mereka tiga beradik.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) biasiswa Kementerian Pendidikan (KPM) berkata antara cabaran yang dihadapinya adalah sentiasa perlu mengekalkan motivasi untuk menyiapkan penulisan penyelidikan supaya dapat menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

“Apabila sambung pengajian di peringkat ini, kita perlu banyak membaca dan harus melakukannya bersungguh-sungguh," kata bapa kepada dua anak itu yang menyambung pengajian secara sepenuh masa.  

Dalam pada itu, kedua-dua beradik berkenaan turut berharap anak didik mereka dapat mengadaptasi ilmu yang dipelajari ketika di sekolah dalam kehidupan seharian sejurus meninggalkan alam persekolahan. - BERNAMA 

Advertisement