Anda di sini

Kerajaan perkenal tujuh kategori baharu Anugerah Perdana Belia Negara

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan tujuh kategori baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif itu dilaksana dengan tujuan menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

Beliau berkata tujuh anugerah baharu yang diperkenalkan termasuk Ikon Belia Karismatik, Ikon belia Kelestarian Alam, Ikon Belia Reka Tekno dan Ikon Belia Influencer (Media Sosial).

"Turut diperkenalkan Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz serta Ikon Belia OKU," katanya.dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan di TV1 hari ini.

Beliau juga mengumumkan Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus bermula tahun ini.

"Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, ia akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaan Program Podium sehingga tahun 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM249 juta bagi tempoh empat tahun.

"Ia bagi menghargai pencapaian cemerlang atlet negara di persada antarabangsa rata-rata dibarisi golongan belia iaitu 31.6 peratus daripada jumlah atlet negara.

"Penerusan program ini bukan sahaja memberikan galakan buat atlet belia, malah perancangan dan persediaan turut dapat dilaksanakan dengan teratur bagi membolehkan lebih banyak pencapaian cemerlang direalisasikan di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA 

Advertisement